Connect with us

Terkini

Penjenamaan semula TH perlu ikut syarak, Berteraskan integriti – Dr Zulkifli

Published

on

Foto: Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
  • Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata langkah itu penting bagi memastikan Tabung Haji kekal unggul, diyakini, dan menjadi kebanggaan negara serta dunia Islam, memandangkan institusi berkenaan turut menjadi simbol maruah umat Islam Malaysia dan lambang keyakinan jutaan pendeposit.
  • “Pertelingkahan yang ada ketika ini wajar diselesaikan dengan baik dan pastinya mengutamakan suara hati majoriti para pendeposit di Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

KUALA LUMPUR — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru agar isu penjenamaan semula Tabung Haji (TH) dilaksanakan berlandaskan panduan syarak serta prinsip tadbir urus yang berteraskan integriti.

Dr Zulkifli berkata langkah itu penting bagi memastikan Tabung Haji kekal unggul, diyakini, dan menjadi kebanggaan negara serta dunia Islam, memandangkan institusi berkenaan turut menjadi simbol maruah umat Islam Malaysia dan lambang keyakinan jutaan pendeposit.

“Pertelingkahan yang ada ketika ini wajar diselesaikan dengan baik dan pastinya mengutamakan suara hati majoriti para pendeposit di Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dr Zulkifli menegaskan bahawa Tabung Haji kekal berdiri hasil kepercayaan lebih sembilan juta pendeposit, daripada golongan marhaen hinggalah kalangan elit yang menabung dengan doa agar suatu hari nanti dapat menunaikan ibadah di Baitullah.

Sehubungan itu, katanya, setiap keputusan yang diambil perlu memelihara sensitiviti pendeposit dan diimbangi dengan pertimbangan syarak seperti menutup jalan fitnah (sadd al-zarā’i), menjaga maruah agama (ḥifẓ al-dīn), serta memastikan maslahat tidak bercanggah dengan nas Islam.

“Dalam sistem pentadbiran Islam, kuasa tafwīḍ (delegasi dasar) hanya diberi kepada Muslim kerana melibatkan syiar dan arah pentadbiran, manakala kuasa tanfīdh (pelaksanaan teknikal) lebih terbuka untuk kerjasama, termasuk dengan bukan Muslim, sebagaimana pelantikan seorang Yahudi bernama Abdullah bin Uraiqit oleh Nabi Muhammad SAW sebagai penunjuk jalan ketika hijrah.

“Ini menunjukkan Islam meraikan kepakaran luar dalam hal teknikal, tetapi menjaga identiti dan dasar agama di tangan umat Islam,” tambahnya.

Terdahulu, antara yang lantang membangkitkan isu penjenamaan semula Tabung Haji ialah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, yang menuntut penjelasan sama ada syarikat dilantik bagi projek itu melalui rundingan terus atau tender terbuka, serta status syarikat berkenaan sama ada milik bukan Islam.— The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author