Connect with us

Terkini

Persenda undang-undang Islam, COO myBurgerLab dipecat

Published

on

Foto: Tangkap layar ciapan Andrew Chong di X.
  • MyBurgerLab memaklumkan perkhidmatan Andrew Chong sebagai Ketua Pegawai Operasi telah ditamatkan berkuat kuasa hari ini susulan tular ciapan peribadi lelaki itu yang dilihat mempersendakan hukuman syariah di Terengganu.
  • Andrew dalam satu ciapan di X bertarikh 21 Ogos lalu, difahamkan telah meninggalkan satu komen mengulas perkongsian BFM News , tentang lelaki Muslim di Terengganu yang meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan munasabah kini berdepan denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun di bawah pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
  • “Catatan Andrew bertentangan dengan nilai-nilai kami, dan kami mengambil tanggungjawab penuh atas kelalaian ini.Kami mengutuk sebarang bentuk diskriminasi atau ketidakhormatan terhadap agama serta berdiri teguh bersama komuniti Muslim kami. Kepada semua yang terkesan, kami menyampaikan permohonan maaf yang tulus ikhlas.” – Pengurusan, myBurgerLab.

KUALA LUMPUR — MyBurgerLab memaklumkan bahawa perkhidmatan Andrew Chong sebagai Ketua Pegawai Operasi telah ditamatkan berkuat kuasa hari ini susulan tular ciapan peribadi lelaki itu yang dilihat mempersendakan hukuman syariah di Terengganu.

Andrew dalam satu ciapan di X bertarikh 21 Ogos lalu, difahamkan telah meninggalkan satu komen mengulas perkongsian daripada BFM News , tentang lelaki Muslim di Terengganu yang meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan munasabah kini berdepan denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun di bawah pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Perkongsian itu turut menulis bahawa tindakan penguatkuasaan tersebut hanya akan dikenakan sebagai langkah terakhir sekiranya peringatan daripada pihak masjid diabaikan kelompok terbabit.

“Wow.. Perlahan tetapi pasti, jika Malaysia diambil alih oleh ekstremisme, kita akan menjadi seperti Iran selepas revolusi, iaitu seperti apa yang anda lihat hari ini, dan itu sepatutnya menakutkan semua orang,” komen Andrew dalam bahasa Inggeris yang kemudian dipadam dan disertai permohonan maaf.

Mengulas tindakan Andrew itu, Pengurusan, myBurgerLab dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa catatan bekas Ketua Pegawai Operasi rangkaian burger tersebut yang telah menimbulkan kemarahan dan kekecewaan khususnya dalam kalangan umat Islam tidak mencerminkan prinsipnya yang berteraskan rasa hormat, perpaduan, dan keterangkuman bagi semua rakyat Malaysia.

“Catatan Andrew bertentangan dengan nilai-nilai kami, dan kami mengambil tanggungjawab penuh atas kelalaian ini.

“Kami mengutuk sebarang bentuk diskriminasi atau ketidakhormatan terhadap agama serta berdiri teguh bersama komuniti Muslim kami. Kepada semua yang terkesan, kami menyampaikan permohonan maaf yang tulus ikhlas.

“Sebagai tindak balas kami telah menamatkan perkhidmatan Andrew Chong serta segala kaitan dengannya, berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pihak mereka sedang menyemak polisi dalaman serta melaksanakan latihan sensitiviti budaya secara mandatori dengan pakar seperti JAKIM, yang akan dilengkapkan dalam tempoh 30 hari dan akan dilakukan secara tahunan.

Tegasnya, kepercayaan diperolehi adalah melalui tindakan justeru mereka berikrar untuk lebih berwaspada bagi memastikan myBurgerLab kekal sebagai simbol keharmonian Malaysia di mana setiap individu berasa dihormati.

“Kami amat menyesal dan dengan rendah hati memohon keampunan anda sambil kami membina semula kepercayaan anda. Terima kasih atas sokongan anda,” menurut kenyataan itu. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author