Antarabangsa
Piala Dunia 2022: Bekas tentera rejim zionis Israel pembunuh rakyat Palestin lari dari Qatar
Bekas tentera Israel, Guy Hochman melarikan diri dari Qatar hujung November lalu selepas tular satu video di Twitter mendedahkan masa lalunya terlibat dalam unit tentera Israel yang membunuh ribuan rakyat Palestin.
- Guy Hochman yang menyamar sebagai pelawak memasuki Qatar untuk membuat video jenaka.
- Seorang wartawan Palestin-Amerika, Samar Dahmash-Jarrah menyiarkan satu video di Twitter mendedahkan Hochman sebenarnya bekas tentera Israel terlibat dalam operasi membunuh rakyat Palestin.
- Dahmash-Jarrah berkata Hochman memperkenalkan dirinya sebagai ‘pembantu damai sedangkan dia sebenarnya seorang askar pembunuh’.
- Wartawan itu mendakwa Hochman adalah Komander Batalion 932 Briged Nahal dan berkhidmat dalam unit yang membunuh ribuan rakyat Palestin semasa Intifada pertama dan kedua
- Susulan itu, Hochman menempah tiket awal pada hujung November lalu untuk pulang ke Israel walaupun dia sepatutnya berada di Qatar sehingga Piala Dunia 2022 berakhir.
Bekas tentera Israel, Guy Hochman melarikan diri dari Qatar hujung November lalu selepas tular satu video di Twitter mendedahkan masa lalunya terlibat dalam unit tentera Israel yang membunuh ribuan rakyat Palestin.
Memetik laporan Middle East Monitor, Hochman datang ke Qatar menyamar sebagai pelawak dengan matlamat untuk membuat video jenaka.
Bekas tentera rejim zionis itu mendakwa dalam salah satu videonya di Facebook yang dia pergi ke Qatar untuk berdamai.
Bagaimanapun, masa lalunya sebagai tentera Israel terbongkar apabila seorang wartawan Palestin-Amerika, Samar Dahmash-Jarrah menyiarkan video pendedahan itu di Twitternya.
Dahmash-Jarrah, yang pernah bertugas di CNN, mempunyai 171,000 pengikut di Twitter.
Video itu memaparkan mesej dalam bahasa Arab: “Penjenayah. Dedahkan mereka”.
Menerusi video itu, Dahmash-Jarrah mendakwa Hochman memperkenalkan dirinya sebagai ‘pembantu damai sedangkan dia sebenarnya seorang askar pembunuh’.
Dia menyatakan Hochman adalah Komander Batalion 932 Briged Nahal dan berkhidmat dalam unit yang membunuh ribuan rakyat Palestin semasa Intifada pertama dan kedua.
Di samping itu, unitnya juga membunuh banyak keluarga semasa peperangan Israel di Gaza.
“Ini adalah wajah sebenar Israel dalam kejohanan itu,” kata Dahmash-Jarrah.
Menurut media Israel, Hochman sepatutnya berada di Qatar sehingga Piala Dunia 2022 tamat tetapi dia menempah tiket awal dan pulang ke Israel.
Ramai wartawan Israel datang ke Qatar dengan bersemangat untuk melaporkan perasaan pro-Israel orang Arab semasa kejohanan itu.
Namun mereka terkejut kerana tiada siapa yang mahu mempedulikan mereka, apatah lagi ramai yang meminta mereka untuk meninggalkan Qatar secepat mungkin.
Wartawan Israel melaporkan yang mereka berasa tidak selamat sepanjang keberadaan di Qatar sehinggakan menyembunyikan identiti mereka sebagai warga Israel.
Sumber: Middle East Monitor