Connect with us

Terkini

(VIDEO) Ada menteri Cina kerajaan 22 bulan kata nilai ekonomi BM tidak setanding bahasa Cina dan Inggeris – Teo Kok Seong

Published

on

Foto: Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR — Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong mendakwa seorang menteri berbangsa Cina dalam kabinet pentadbiran 22 bulan sebelum ini, pernah menyatakan bahawa Bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi setinggi atau setanding bahasa Cina mahupun bahasa Inggeris.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu menegaskan kenyataan sedemikian mencerminkan sikap “buta hati”, sambil menekankan bahawa walaupun bahasa Melayu mungkin tidak mempunyai nilai ekonomi setinggi bahasa lain, namun sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara, ia mempunyai nilai yang sangat besar dalam konteks kenegaraan.

Kalaulah pemimpin buta hati begitu, ini ibarat kalau cikgu kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

“Jadi bagaimana kita nak expect sesuatu yang ajaib berlaku, sedangkan pemimpinnya sendiri bersikap sedemikian?” soalnya yang turut berpandangan bahawa masyarakat bukan Melayu, misalnya Cina gagal dalam melihat nilai yang ada pada bahasa kebangsaan.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam episod terbaru Program Analisis Bersama Finaz Yunus bertajuk, “Bendera terbalik: Tak tahu atau provokasi?” yang disiarkan di Youtube The Merdeka Times.

Turut menjadi panel bagi program itu adalah Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong dan peguam yang juga penganalisa isu semasa, Tai Zee How.

Justeru, Kok Seong menegaskan sudah tiba masanya masyarakat Cina, khususnya pemimpin mereka, menginsafi keberadaan mereka di bumi bertuah ini.

“Apa erti kerakyatan yang dipegang? Jika sepatah haram, bahasa negara pun tak mereka ketahui.

“Apabila dibandingkan dengan pekerja asing yang baru datang, enam bulan dari Bangladesh dan sebagainya, sudah boleh berbahasa Melayu walaupun tidak fasih, berbanding dengan mereka yang tak boleh berbahasa Melayu langsung,” katanya.

Tambah beliau, dalam hal ini kerajaan perlu mempunyai tekad politik yang kuat untuk menangani isu tersebut, memandangkan perkara itu telah lama wujud namun tiada keberanian politik untuk memperbaiki keadaan.

“Jangan kita tangguh-tangguhkan lagi atau sweep under the carpet jangan. Kita perlu sangat-sangat insaf untuk masa depan Malaysia yang lebih cerah,” kata Kok Seong.

Tegasnya, ini kerana bahasa mempunyai kuasa penyatuan, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan jangan sesekali ada pihak memandang remeh kepada kuasa bahasa yang boleh menyatupadukan kita.— The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author