Connect with us

Antarabangsa

Tribunal Gaza gesa campur tangan bersenjata PBB hentikan “fasa paling dahsyat genosid” di Gaza

Published

on

Foto: Presiden Tribunal Gaza, Richard Falk.
  • Dalam sidang akhbar di Istanbul, Presiden tribunal bebas itu, Richard Falk, Profesor Emeritus Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Princeton, AS, dan bekas Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia di wilayah Palestin (2008-2014), menggesa kerajaan-kerajaan dunia mengetepikan Majlis Keselamatan PBB dan memberi kuasa kepada Perhimpunan Agung PBB untuk meluluskan campur tangan bersenjata.
  • “Jika kita tidak mengambil tindakan tegas pada ketika ini, apa-apa langkah sederhana selepas ini akan terlalu lambat, tersangat lambat untuk menyelamatkan penduduk yang telah pun trauma akibat berhadapan genosid lebih 22 bulan,” kata Falk.
  • Tribunal itu sedang melakukan persiapan untuk membangkitkan isu ini di Perhimpunan Agung PBB di New York bulan depan. “Kami telah melakukan persediaan asas untuk berbuat demikian dengan mengeluarkan kenyataan ini hari ini,” kata Falk.
  • Beliau menjelaskan tribunal itu bukan hanya menyasarkan untuk mendokumentasikan kekejaman tetapi juga untuk menggerakkan solidariti global.

 

ISTANBUL — Tribunal Gaza pada Isnin menggesa campur tangan bersenjata antarabangsa segera bagi menghentikan apa yang digambarkan sebagai “fasa paling dahsyat genosid” oleh Israel di Gaza, sambil memberi amaran bahawa kegagalan bertindak akan menjadi “kegagalan bersejarah terhadap kemanusiaan”, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam sidang akhbar di Istanbul, Presiden tribunal bebas itu, Richard Falk, Profesor Emeritus Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Princeton, Amerika Syarikat (AS), dan bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia di wilayah Palestin (2008-2014), menggesa kerajaan-kerajaan dunia mengetepikan Majlis Keselamatan PBB dan memberi kuasa kepada Perhimpunan Agung PBB untuk meluluskan campur tangan bersenjata.

“Jika kita tidak mengambil tindakan tegas pada ketika ini, apa-apa langkah sederhana selepas ini akan terlalu lambat, tersangat lambat untuk menyelamatkan penduduk yang telah pun trauma akibat berhadapan genosid lebih 22 bulan,” kata Falk.

Mata dan telinga dunia telah didedahkan tidak seperti dahulu, termasuk Holocaust kepada ketelusan genosid yang dilakukan dalam masa nyata. Ia mencabar kemanusiaan kita, katanya lagi.

Falk turut mengecam demokrasi Barat atas apa yang disifatkannya sebagai “tingkah laku bersekongkol”, sambil
memaklumkan terdapat peralihan dalam pendapat umum.

“Kami cuba menangani hati nurani semua orang dan menggalakkan bentuk aktivisme yang akan menghasilkan
perubahan dalam kerajaan di masa akan datang, terutamanya embargo senjata dan pelbagai sekatan … termasuk tahap solidariti dengan perjuangan rakyat Palestin yang terbukti berkesan dalam kempan anti-apartheid,” katanya.

Dalam kenyataan kecemasan bertajuk “Time to ACT: Mobilising Against Israel’s Planned Conquest on Gaza City and Central Gaza” yang diserahkan kepada Anadolu, tribunal itu menyorot keputusan Kabinet Keselamatan Israel pada 7 Ogos untuk meneruskan penaklukan Bandaraya Gaza, yang menempatkan hampir sejuta penduduk Palestin yang berpindah, biarpun mendapat tentangan daripada pimpinan tenteranya sendiri, kata Falk.

Falk berkata keadaan mendesak itu menuntut tindakan drastik melalui saluran undang-undang antarabangsa seperti Resolusi “Uniting for Peace” 1950 dan rangka kerja “Responsibility to Protect” (R2P) yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak PBB 2005.

Tribunal itu menyokong gesaan Duta Palestin ke PBB Riyad Mansour agar pasukan perlindungan dihantar segera, sambil menegaskan bahawa berdiam diri berdepan genosid sama seperti bersekongkol.

Beliau turut mengecam usaha sistematik menutup mulut pihak yang menyampaikan kebenaran, dan merujuk kepada sekatan terhadap Pelapor Hak Asasi Manusia PBB, selain pembunuhan wartawan Al Jazeera Assas al-Shafir dan rakannya pada 10 Ogos lepas.

“Sebahagian daripada Tribunal Gaza adalah untuk mengukuhkan peranan kebenaran atau berdasarkan kenyataan. Ia merupakan kepentingan strategik bukan hanya untuk Gaza tetapi untuk kesejahteraan dunia,” katanya.

Tribunal itu sedang melakukan persiapan untuk membangkitkan isu ini di Perhimpunan Agung PBB di New York bulan depan. “Kami telah melakukan persediaan asas untuk berbuat demikian dengan mengeluarkan kenyataan ini hari ini,” kata Falk.

Beliau menjelaskan tribunal itu bukan hanya menyasarkan untuk mendokumentasikan kekejaman tetapi juga untuk menggerakkan solidariti global.

“Saya fikir … kami harap untuk mengumpulkan sebuah arkib berwibawa mengenai kekejaman yang berlaku dan kami sudah bermesyuarat di Sarajevo pada penghujung Mei serta mengumpulkan bukti yang banyak.

“Kerana ia adalah sebuah juri berdasarkan hati nurani, ia tidak sempit dan dihadkan sebagaimana mahkamah biasa. Minatnya kepada keadilan lebih daripada penggunaan teknikal peraturan undang-undang dan bukti perundangan. Jadi ia memberi gambaran yang lebih lengkap,” katanya.

Menurut Falk, matlamat kedua utama tribunal itu ialah untuk mengabsahkan “inisiatif solidariti global, untuk memberi tekanan kepada kerajaan supaya bertindak melebihi daripada sekadar menghentikan genosid, menggunakan Resolusi Keamanan PBB atau tanggungjawab untuk melindungi instrumen bagi mencabar apa yang sedang dilakukan Israel dan untuk berharap akan ada kesan serta merta atau suatu kesan secepat mungkin.”

“Kami bergerak dengan tanggapan yang semakin kuat setiap hari bahawa keadaan adalah mendesak untuk seluruh penduduk Gaza dan respons kecemasan adalah perlu. Jika tidak, malah tindakan berniat baik, termasuk daripada kami, mungkin terlalu lambat untuk mempengaruhi, “ katanya.

Falk menggariskan bahawa Perhimpunan Agung PBB kekal sebagai satu laluan yang boleh digunakan untuk campur tangan serta merta.

“Saya fikir kita mahu melihat pengiktirafan rasa terdesak dan kecemasan ini, digabungkan dengan idea bahawa PBB jika diperkasakan menerusi Perhimpunan Agung boleh membawa tindakan yang serta-merta dan bermakna.

Ia mempunyai instrumen perundangan dan politik untuk melakukannya menerusi Resolusi Keamanan PBB dan prosedur R2P. Maka, ia merupakan lanjutan usaha untuk mencabar tanggapan bahawa PBB sudah lumpuh apabila berhadapan dengan pencegahan genosid,” katanya.

Tribunal Gaza, yang ditubuhkan di London pada November 2024 oleh hampir 100 tokoh sarjana, aktivis hak asasi manusia dan masyarakat sivil, telah menyatakan “kegagalan sepenuhnya organisasi masyarakat antarabangsa untuk
melaksanakan undang-undang antarabangsa” di Gaza.

Sejak itu, ia telah mengadakan beberapa sesi termasuk pendengaran awam empat hari di Sarajevo pada Mei lepas yang berakhir dengan Deklarasi Sarajevo, mendakwa Israel melakukan genosid, jenayah perang dan apartheid.

Sesi akhir akan diadakan Oktober depan di Istanbul, di mana “Juri Nurani” akan menyampaikan keputusan moral berdasarkan semua testimoni dan bukti yang dikumpul.

Menurut data terkini, lebih 62,000 rakyat Palestin telah maut di Gaza sejak Oktober 2023, manakala wilayah itu kini berada di ambang kebuluran. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author