Antarabangsa
Relevankah ibu pejabat PBB di New York, saat AS penyokong tegar Israel
- Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, dalam keadaan dunia hari ini, relevansi atau kewajaran AS untuk terus dilihat sebagai pemimpin dunia turut menjadi persoalan besar.
- Tambah beliau, dengan situasi sebegini generasi masa depan dunia akan membesar dengan memahami bahawa “kuasa adalah kebenaran” atau “might is right”, manakala golongan lemah serta miskin tidak berhak mendapat keadilan selagi mana spesies ahli politik dan pemimpin dunia yang ada ketika ini terus menduduki kerusi kuasa.
KUALA LUMPUR — Masyarakat dunia perlu menimbang secara serius sama ada wajar dan relevan lagi-kah untuk ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kekal di New York, memandangkan Amerika Syarikat (AS) menjadi penyokong paling teguh Israel sejak sekian lama.
Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan bahawa Israel adalah sebuah negara yang kerap melanggar undang-undang antarabangsa serta mengamalkan genosid dan apartheid.
Katanya, dalam keadaan dunia hari ini, relevansi atau kewajaran AS untuk terus dilihat sebagai pemimpin dunia turut menjadi persoalan besar.
“Arahan zalim terbaharu yang menghentikan visa sementara ke AS bagi rawatan perubatan untuk rakyat Palestin yang cedera adalah satu lagi paku di keranda penderitaan panjang rakyat Gaza,” ujarnya dalam satu kenyataan dikongsikan kepada The Merdeka Times hari ini.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu dilaporkan menggantung semua visa pelawat untuk penduduk Semenanjung Gaza dengan alasan sedang menjalankan semakan terhadap proses pengeluaran.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin turut menyifatkan program bantuan makanan kemanusiaan oleh Israel dan AS sebagai perangkap maut yang kejam.
“Kita telah kehabisan kata-kata untuk menggambarkan kengerian dan penderitaan di Gaza, dan kita juga telah kehabisan perkataan untuk melukiskan ketidakpedulian serta kekejaman luar biasa negara-negara Barat yang berkuasa dan AS dalam membiarkan pedagang maut meneruskan pembantaian serta genosid di Gaza,” katanya.
Tambah beliau, dengan situasi sebegini generasi masa depan dunia akan membesar dengan memahami bahawa “kuasa adalah kebenaran” atau “might is right”, manakala golongan lemah serta miskin tidak berhak mendapat keadilan selagi mana spesies ahli politik dan pemimpin dunia yang ada ketika ini terus menduduki kerusi kuasa.
“Pemimpin Barat yang berkuasa dan jiran Arab Palestin yang amat kaya perlu melakukan muhasabah jiwa yang mendalam, jika mereka sanggup berhenti seketika untuk berbuat demikian.
“Itu pun sekiranya mereka masih mempunyai hati nurani yang prihatin atau nilai moral berkaitan isu Palestin,” tegasnya.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 62,000 rakyat Palestin di Gaza. Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran. — The Merdeka Times