Terkini
(VIDEO) Bendera terbalik: Kaum Cina terlibat perlu insaf – Teo Kok Seong
KUALA LUMPUR — Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong meminta kaum Cina, khususnya yang terlibat dalam isu mengibar bendera secara terbalik agar menginsafi apa berlaku serta bertindak proaktif bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu juga menyifatkan adalah malang apabila isu kecuaian membabitkan bendera terbalik sering dilakukan oleh kelompok sama, yang sekalipun akan ada permintaan maaf namun ia tetap akan mengulangi perbuatan tersebut.
Menyentuh berkenaan isu bendera di Pulau Pinang, Kok Seong menegaskan tindakan reaktif segelintir pihak yang ingin mendidik masyarakat tentang cara memasang bendera dengan betul selepas insiden itu adalah langkah yang sudah terlewat dan tidak cukup.
“Sepatutnya tarbiah tentang cara kibar bendera dengan betul ini dilakukan lama dahulu.
“Tak boleh setelah berlakunya kecuaian sebegini dan terima pula reaksi masyarakat yang begitu sengit kali ini, barulah nak ditunjukkan cara pasang bendera,” tegasnya dalam episod terbaru Program Analisis Bersama Finaz Yunus yang disiarkan di Youtube The Merdeka Times sebentar tadi.
Turut menjadi panel bagi program itu adalah Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong dan peguam yang juga penganalisa isu semasa, Tai Zee How.
Menjawab soalan sama ada kes bendera terbalik ini disebabkan pihak terbabit tidak tahu atau sengaja melakukannya, Kok Seong berpendapat kedua-dua kemungkinan itu wujud dalam isu berkenaan.
Jelasnya, penggunaan alasan tidak tahu juga sebenarnya menunjukkan seseorang itu telah bersikap tidak acuh atau enggan ambil peduli tentang hal berkaitan negara, sedangkan ia memegang status warganegara Malaysia.
“Yang disengajakan ini bagi saya, yang di Pulau Pinang itu apabila ia digayakan cara kibaran bendera (terbalik) itu dan ada pula orang yang merakamnya, jadi nampak sangat seperti disengajakan.
“Tetapi kita serahkan pada polis… cuma a picture paints a thousand words. Ini kan video? Yang mempunyai visual yang bergerak-gerak,” ujarnya yang berpandangan kes bendera terbalik di Pulau Pinang dan Port Dickson berlaku disebabkan kesilapan manual.
Kesilapan manual menurut beliau adalah perbuatan yang dilakukan dengan tangan dan pelakunya dapat melihat perbuatan tersebut dengan mata.
Pada 9 Ogos lalu, tular satu video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang didakwa sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mencetuskan kecaman warganet.
Malah, semalam juga lebih 500 anak muda mewakili Pergerakan Pemuda UMNO, Armada Bersatu dan PAS dilaporkan berarak bersama mengibarkan Jalur Gemilang sejauh 1.4 kilometer di kawasan kedai tersebut sebagai simbol perpaduan mempertahankan maruah bendera negara.
Video di Pulau Pinang itu tular hanya beberapa hari selepas isu sama berlaku membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson yang dilaporkan telah memohon maaf secara terbuka berikutan insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik di premis sekolah berkenaan pada 1 Ogos lalu, yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.– The Merdeka Times