Teknologi
Motosikal suspek serang anak Rafizi guna nombor pendaftaran palsu – Polis
- Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata maklumat itu berdasarkan hasil pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran motosikal yang digunakan semasa kejadian dan pihaknya sedang giat mengesan kedua-dua suspek terbabit.
- “Setakat ini, penyerang dikesan ialah dua individu, namun identiti suspek masih belum dikenal pasti,” katanya.
- Shazeli berkata polis masih menjalankan siasatan, termasuk mengenal pasti cecair yang didakwa digunakan dalam jarum suntikan ketika kejadian.
KUALA LUMPUR — Motosikal digunakan dua individu disyaki terlibat dalam serangan ke atas anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya petang semalam, dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata maklumat itu berdasarkan hasil pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran motosikal yang digunakan semasa kejadian dan pihaknya sedang giat mengesan kedua-dua suspek terbabit.
“Setakat ini, penyerang dikesan ialah dua individu, namun identiti suspek masih belum dikenal pasti,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Shazeli turut memaklumkan bahawa, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti cecair yang didakwa digunakan dalam jarum suntikan ketika kejadian.
Semalam, polis mengesahkan berlaku serangan terhadap anak Rafizi dipercayai terjadi kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Rafizi yang turut mengesahkan kejadian itu berkata anaknya telah diheret seorang lelaki dan dicucuk dengan jarum suntikan, selain beliau mendakwa serangan tersebut melibatkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal.
Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Rafizi mendedahkan isterinya menerima ugutan pagi tadi susulan insiden tersebut, yang kini sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, ugutan itu diterima isterinya pada 1.12 pagi dan 11.02 pagi hari ini, masing-masing mengandungi ancaman ‘Diam, andai teruskan AIDS’ serta emoji picagari, daripada nombor telefon yang sama.
Berkongsi perkembangan terkini anaknya, bekas timbalan presiden PKR itu berkata pemeriksaan awal di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menunjukkan kesan sampingan dalam tempoh 24 jam pertama, sekali gus memberikan keyakinan untuk menolak kemungkinan suntikan berbentuk dadah atau racun.
Bagaimanapun, katanya, ujian darah berkala selama enam bulan perlu dilakukan bagi memastikan tiada jangkitan berasaskan virus seperti hepatitis atau HIV, memandangkan hanya ujian susulan dapat memberikan pengesahan sepenuhnya. — The Merdeka Times