Terkini
Kes Zara Qairina: Pengetua, PK HEM dan warden sekolah ditempatkan sementara di JPN Sabah
- Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan mereka akan ditempatkan sementara di JPN Sabah sehingga siasatan pihak PDRM berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selesai.
- KPM berkata keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes pelajar Tingkatan 1 tersebut.
- “KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas,” katanya.
KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan (KPM) akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selesai.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes pelajar Tingkatan 1 tersebut.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini.
“KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, sepasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota dilaporkan telah dihantar ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes kematian pelajar terbabit.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) memaklumkan penghantaran pasukan itu adalah sebahagian komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus, profesional dan menyeluruh.
Pada Jumaat lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Berikutan itu, pada Sabtu lalu, jenazah remaja tersebut digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, serta dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Isnin di tanah perkuburan sama.
Zara Qairina, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas dibawa ke hospital berkenaan berikutan ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Sejak kejadian, pelbagai spekulasi dan teori tular di media sosial termasuk dakwaan membabitkan unsur jenayah dan buli. — The Merdeka Times