Terkini
(VIDEO) Wanita mampu hentikan perang, ‘lelaki ego dan percaya kuasa tentera’
KUALA LUMPUR — Wanita patut diberi peluang untuk menjadi perunding dalam membantu mencapai keamanan di negara bergolak atau yang sedang berperang.
Itu pandangan tegas aktivis kemanusiaan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Fauziah Mohd Hasan.
Beliau berkata jika diberikan peluang dan latihan sewajarnya, wanita berupaya untuk menjadi perunding yang baik, sekali gus menukar naratif hari ini yang terlalu bergantung kepada kuasa ketenteraan.
“Sekarang ini naratifnya ialah, siapa yang berkuasa dengan kekuatan tentera, dialah yang akan mengawal. Tapi saya rasa itu tak sepatutnya lagi berlaku.
“Wanita mesti tampil ke hadapan, kalau saya baca kisah Bosnia dan Serbia… Wanitalah yang sebenarnya mewujudkan keamanan kerana wanita ini hatinya lembut, tidak terlalu memikirkan tentang kuasa ketenteraan,” katanya dalam episod terbaru podcast Garis Krisis yang disiarkan di YouTube The Merdeka Times.
Menurut beliau, wanita cenderung menggunakan pendekatan berempati, kerana kesakitan akibat pengalaman kehilangan orang tersayang membuatkan mereka lebih memahami penderitaan pihak lawan.
“Sebab apabila kita sama-sama melalui kesakitan, misalnya anak kamu terbunuh, anak saya juga syahid kita akan berkongsi rasa yang sama.
“Dari situ, walaupun bermula sebagai musuh, mereka boleh mencapai satu titik persefahaman dan kemudiannya mewujudkan perdamaian,” katanya.
Tambahnya, wanita juga memiliki banyak soft skills, termasuk seni berunding yang mampu membantu proses perdamaian.
Namun realitinya, peluang sebegitu jarang diberikan, apatah lagi dalam masyarakat yang masih kuat berpegang kepada sistem patriarki.
“Orang lelaki ini keras dan ego and sometimes dia percaya bahawa kuasa tentera adalah lambang kekuatan.
“But at what cost? Kalau perang ramai rakyat susah. That’s how women think,” tegasnya yang menginginkan agar suara wanita diketengahkan dalam usaha mencapai perdamaian.
Dr Fauziah turut mengakui pandangan hos, bahawa kadang-kala faktor jantina dan penampilan pun boleh memainkan peranan menjadikan wanita itu perunding yang lebih baik, tanpa perlu menggunakan senjata. — The Merdeka Times