Antarabangsa
Bantuan “airdrop” di Gaza 100 kali lebih mahal berbanding bantuan darat – UNRWA
- Menurut Pesuruhjaya Jeneral UNRWA, Philippe Lazzarini, kos operasi udara adalah sekurang-kurangnya 100 kali ganda lebih tinggi daripada penghantaran lori, sedangkan lori boleh membawa dua kali ganda lebih banyak bantuan berbanding pesawat.
- “Airdrop sering tersasar dan berisiko merosakkan bangunan, mencederakan orang awam, atau jatuh di kawasan yang tidak dapat diakses termasuk zon yang telah dipindahkan penduduknya. Keadaan ini menjadikan kaedah tersebut tidak mampu menggantikan keberkesanan penghantaran melalui jalan darat,” kata Lazzarini.
- Katanya, jika ada kemahuan politik untuk membenarkan airdrop sepatutnya ada kemahuan yang sama untuk membuka lintasan darat.
GAZA — Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menegaskan bantuan udara atau airdrop makanan dari udara di Gaza bukan sahaja sangat mahal, malah tidak mencukupi dan tidak efisien, sedangkan ribuan lori bantuan tersangkut hanya beberapa kilometer dari sempadan akibat sekatan Israel.
Menurut Pesuruhjaya Jeneral UNRWA, Philippe Lazzarini, kos operasi udara adalah sekurang-kurangnya 100 kali ganda lebih tinggi daripada penghantaran lori, sedangkan lori boleh membawa dua kali ganda lebih banyak bantuan berbanding pesawat.
Katanya, jika ada kemahuan politik untuk membenarkan airdrop sepatutnya ada kemahuan yang sama untuk membuka lintasan darat.
Beliau mendedahkan lebih 6,000 lori yang membawa bantuan kemanusiaan kini menunggu kebenaran untuk memasuki Gaza, walaupun lebih dua juta penduduk di wilayah itu sedang berdepan kebuluran yang disengajakan.
Setakat ini, hanya 14 peratus daripada jumlah bantuan yang dipohon dibenarkan masuk.
“Airdrop sering tersasar dan berisiko merosakkan bangunan, mencederakan orang awam, atau jatuh di kawasan yang tidak dapat diakses termasuk zon yang telah dipindahkan penduduknya.
“Keadaan ini menjadikan kaedah tersebut tidak mampu menggantikan keberkesanan penghantaran melalui jalan darat,” kata Lazzarini.
Tambah beliau, ketika gencatan senjata awal tahun ini, PBB termasuk UNRWA dan rakan kerjasama berjaya membawa masuk antara 500 hingga 600 lori sehari ke Gaza.
“Bantuan ketika itu sampai ke seluruh penduduk dengan selamat dan bermaruah, berjaya membendung krisis kelaparan tanpa sebarang penyelewengan bantuan,” tegasnya.
UNRWA menegaskan tiada alternatif yang mampu menandingi operasi terkoordinasi PBB dengan agensi itu sebagai tulang belakang, kerana model tersebut terbukti berkesan dalam menyalurkan bantuan secara besar-besaran.
“Marilah kita kembali kepada kaedah yang berkesan dan biarkan kami menjalankan tugas. Inilah yang diperlukan rakyat Gaza lebih daripada sebelumnya, bersama satu gencatan senjata berkekalan,” kata Lazzarini.
Krisis kemanusiaan di Gaza terus meruncing dengan lebih 22,000 lori bantuan masih tertahan di luar sempadan, manakala masyarakat antarabangsa mendesak Israel membuka lintasan darat bagi membolehkan bantuan sampai segera kepada penduduk yang kebuluran.-The Merdeka Times