Terkini
Buru dalang dan penyerang saksi pendakwaan kes rasuah babitkan Guan Eng – Pemuda MCA
- Gesaan itu dibuat Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong yang turut mengingatkan agar kes Teoh Beng Hock dijadikan pengajaran.
- Choo Seong menyifatkan insiden itu merupakan isyarat bahawa keselamatan rakyat Malaysia diambang membimbangkan, terutama apabila melibatkan pemimpin politik dan orang kenamaan.
- Malah, katanya apabila menyentuh tentang kes terowong dasar laut Pulau Pinang yang dikatakan bernilai RM6.3 bilion itu, pelbagai persoalan serius turut timbul dan masih belum terjawab sehingga hari ini.
- “Pada 5 Oktober 2021, seorang saksi pendakwaan dalam kes sama ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Tikus. Adakah ia kemalangan atau kebetulan?,” soalnya.
KUALA LUMPUR — Pihak berkuasa di negara ini digesa memburu dalang dan penyerang kepada seorang saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan pemimpin DAP yang dilaporkan diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya di Petaling Jaya hari ini.
Gesaan itu dibuat Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong yang turut mengingatkan agar kes Teoh Beng Hock yang sebelum ini dilapor ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama dijadikan pengajaran.
Choo Seong menyifatkan insiden serangan yang disahkan oleh Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar itu merupakan isyarat bahawa keselamatan rakyat Malaysia diambang membimbangkan, terutama apabila melibatkan pemimpin politik dan orang kenamaan.
Malah, katanya apabila menyentuh tentang kes terowong dasar laut Pulau Pinang yang dikatakan bernilai RM6.3 bilion itu, pelbagai persoalan serius turut timbul dan masih belum terjawab sehingga hari ini.
“Pada 5 Oktober 2021, seorang saksi pendakwaan dalam kes sama ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Tikus. Adakah ia kemalangan atau kebetulan?,” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau juga sekali lagi menegaskan bahawa isu berkenaan adalah sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan serta nyawa manusia.
“Adakah wujud sesuatu yang mencurigakan dalam kes ini?
“Saya pasti, seluruh rakyat Malaysia tidak mahu kes seperti ini termasuk kes Teoh Beng Hock berulang dan menimpa mana-mana rakyat Malaysia. Ingat, negara Malaysia mempunyai undang-undang,” tegasnya.
Sehubungan itu, Choo Seong menyeru semua pihak agar berganding bahu tanpa mengira fahaman politik untuk terus memberi kepercayaan serta ruang yang sewajarnya kepada pihak berkuasa, khususnya pasukan keselamatan negara, dalam menjalankan tugas mereka.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa anggota keselamatan akan memburu pelaku jenayah hingga ke lubang cacing, seterusnya mengheret mereka ke muka pengadilan untuk dikenakan hukuman yang setimpal.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Neow Choo Seong.
Terdahulu, seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya, yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan.
Menurut sumber yang rapat dengan perbicaraan itu, penyerang turut memberi amaran agar mangsa hanya duduk di rumah dan jangan menjadi ‘wira’.
Guan Eng, yang juga penasihat DAP sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berhubung Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta suapan daripada Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, bagi membantu syarikat terbabit mendapatkan projek berkenaan.
Guan Eng turut didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan syarikat daripada Zarul.
Selain itu, beliau juga dituduh menerima RM3.3 juta untuk dirinya sendiri dan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang mempunyai kaitan dengan projek terbabit. — The Merdeka Times