Terkini
Tubuh suruhanjaya siasat dakwaan DAP promosi Islamofobia
Susulan dakwaan berterusan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan parti itu bahawa DAP dan sekutunya mempromosikan Islamofobia, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat parti-parti politik yang mempromosikan ideologi sedemikian di negara ini.

- Suruhanjaya itu perlu menjemput Hadi dan pemimpin PAS lain untuk kemukakan bukti dakwaan mereka bahawa DAP dan sekutunya mempromosikan Islamofobia. – Veretan DAP, Lim Kit Siang
- “Saya cadangkan kerajaan persekutuan bentuk satu suruhanjaya pakar Islam dan bukan Islam untuk melaporkan sama ada terdapat parti politik yang promosikan Islamofobia dan masalah Islamofobia dan fobia agama lain di Malaysia”.
- Tidak ada sebarang asas pun terhadap dakwaan itu, tetapi memandangkan PAS telah buat tuduhan berkenaan secara terbuka dan berulang kali, ia harus dipandang serius dengan bentuk jawatankuasa seperti yang dicadangkannya”.
- Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam adalah agama persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Susulan dakwaan berterusan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan parti itu bahawa DAP dan sekutunya mempromosikan Islamofobia, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat parti-parti politik yang mempromosikan ideologi sedemikian di negara ini.
Veteran DAP itu berkata suruhanjaya itu perlu menjemput Hadi dan pemimpin PAS lain untuk mengemukakan bukti dakwaan mereka bahawa DAP dan sekutunya mempromosikan Islamofobia.
“Saya mencadangkan kerajaan persekutuan membentuk satu suruhanjaya pakar Islam dan bukan Islam untuk melaporkan sama ada terdapat parti politik yang mempromosikan Islamofobia dan masalah Islamofobia dan fobia agama lain di Malaysia, terutamanya dari sudut objektif Rukun Negara iaitu untuk ‘mencapai dan memupuk perpaduan yang lebih erat di kalangan masyarakat’.
“Suruhanjaya itu harus menjemput Hadi dan pemimpin PAS yang lain untuk bekerjasama dengan mengemukakan hujah untuk membuktikan dakwaan PAS bahawa DAP dan PKR mempromosikan Islamofobia,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Lim merujuk kepada artikel yang diterbitkan hari ini oleh organ PAS Harakah yang mendakwa dasar “sekular” DAP dan dasar “liberal” PKR mewujudkan Islamofobia.
Katanya, tidak ada sebarang asas pun terhadap dakwaan itu, tetapi memandangkan PAS telah membuat tuduhan berkenaan secara terbuka dan berulang kali, ia harus dipandang serius dengan membentuk jawatankuasa seperti yang dicadangkannya.
Selain meneliti Islamofobia di negara ini, suruhanjaya itu juga perlu membuat syor tentang cara mengelakkan Malaysia daripada terpolarisasi dan terpisah akibat “politik pembohongan, ketakutan, kebencian, kaum dan agama yang toksik”, kata Lim.
Katanya, parti yang menerima sepenuhnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kini dituduh sebagai Islamofobia.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam adalah agama persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Lim bekata ini adalah isu mendesak yang patut mendapat perhatian mesyuarat pertama kabinet baru di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebaik sahaja ia dibentuk.
Sumber: Malaysia Kini
