Politik
Dakwaan PM terima wang tokoh perniagaan lebih menjurus isu audit dalaman parti
- Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dapatan itu adalah berdasarkan semakan dan siasatan awal dijalankan polis.
- “Kandungan laporan itu lebih menjurus kepada isu pengauditan dalaman dan permasalahan pentadbiran dalam organisasi parti,” katanya.
- Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan berhubung perkembangan siasatan polis terhadap laporan di Kuala Kedah pada 22 Mei lalu berkenaan video tular dipercayai Ketua Cabang PKR Wangsa Maju.
KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati video tular memaparkan individu dipercayai Ketua Cabang PKR Wangsa Maju mendakwa sumbangan kewangan tidak audit, termasuk Perdana Menteri didakwa menerima wang daripada seorang tokoh perniagaan lebih menjurus kepada isu pengauditan dan pentadbiran dalaman parti berkenaan.
Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dapatan itu adalah berdasarkan semakan dan siasatan awal dijalankan polis.
“Kandungan laporan itu lebih menjurus kepada isu pengauditan dalaman dan permasalahan pentadbiran dalam organisasi parti,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan berhubung perkembangan siasatan polis terhadap laporan di Kuala Kedah pada 22 Mei lalu berkenaan video tular dipercayai Ketua Cabang PKR Wangsa Maju.
Pada Mei, sebuah video yang tular di beberapa platform media sosial dilihat memaparkan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng mengulas mengenai sumbangan kewangan kepada cabang itu daripada seorang ahli perniagaan terkemuka.
Beliau didakwa merujuk sumbangan itu sebagai ‘dana tidak diaudit’ yang dikaitkan dengan seorang pemimpin politik kanan.
Chen Heng bagaimanapun dilapor menegaskan bahawa klip berkenaan disunting secara terpilih dan disebarkan dengan niat jahat. — The Merdeka Times