Connect with us

Terkini

Kes dera dan pengantunan: Cadangan mansuh asrama sekolah agama tidak wajar dilaksana secara pukul rata – PINTA

Published

on

Foto: PINTA
  • Cadangan agar asrama di sekolah agama dimansuhkan bagi menangani kes penderaan dan pengantunan kanak-kanak tidak wajar dilaksanakan secara pukul rata tanpa mengambil kira realiti dan fungsi sebenar institusi asrama dalam pendidikan Islam di Malaysia.
  • Demikian pandangan Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood yang turut menegaskan bahawa asrama bukan hanya tempat penginapan, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada sistem pendidikan bersepadu yang membentuk sahsiah, disiplin dan rohani pelajar.
  • Pemansuhan menyeluruh berpotensi memberi kesan besar terhadap pelajar yang menjadikan institusi ini sebagai tempat pembinaan masa depan,” katanya.
  • Sebagai alternatif lain bagi menggantikan cadangan pemansuhan asrama tersebut, Mohd Zahid menyarankan beberapa langkah penambahbaikan dilaksanakan, termasuk pemantapan sistem pemantauan dalaman dan luaran melalui pelaksanaan SOP keselamatan serta perlindungan pelajar.

KUALA LUMPUR — Cadangan agar asrama di sekolah agama dimansuhkan bagi menangani kes penderaan dan pengantunan kanak-kanak tidak wajar dilaksanakan secara pukul rata tanpa mengambil kira realiti dan fungsi sebenar institusi asrama dalam pendidikan Islam di Malaysia.

Demikian pandangan Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood yang turut menegaskan bahawa asrama bukan hanya tempat penginapan, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada sistem pendidikan bersepadu yang membentuk sahsiah, disiplin dan rohani pelajar.

Pemansuhan menyeluruh berpotensi memberi kesan besar terhadap pelajar yang menjadikan institusi ini sebagai tempat pembinaan masa depan,” katanya kepada The Merdeka Times pada Selasa ketika mengulas cadangan berkenaan yang disuarakan Pengasas Pertubuhan Perlindungan Kanak-kanak, Nazir Ariff baru-baru ini.

Nazir sebelum ini dilaporkan mencadangkan agar asrama di sekolah agama dimansuhkan, kerana berpendapat bahawa asrama yang tidak dipantau sewajarnya adalah tidak selamat, dengan pelaku sering kali terdiri daripada guru atau individu dewasa yang dikenali mangsa.

Mengulas lanjut, Mohd Zahid berkata dalam hal ini PINTA berpendirian bahawa solusi terbaik bukanlah pembubaran sistem, tetapi pemerkasaan sistem.

“Pendidikan Islam dan asrama tahfiz telah melahirkan ribuan insan berakhlak mulia di negara ini.

“Dengan penambahbaikan menyeluruh dan kerjasama antara kerajaan, NGO dan masyarakat, kita mampu menjadikan institusi agama lebih selamat, profesional dan diyakini,” katanya.

Sebagai alternatif lain bagi menggantikan cadangan pemansuhan asrama tersebut, Mohd Zahid menyarankan agar beberapa langkah penambahbaikan dilaksanakan, termasuk pemantapan sistem pemantauan dalaman dan luaran melalui pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta perlindungan pelajar.

Selain, penyediaan latihan berkala kepada warden dan pihak pengurusan berkaitan psikologi remaja, perlindungan kanak-kanak dan intervensi awal; penglibatan pihak ketiga seperti NGO dan sukarelawan bertauliah sebagai pemantau bebas serta saluran aduan; serta penggunaan CCTV dan rekod log aktiviti pelajar secara sistematik dan telus.

Berdasarkan pemerhatian PINTA, antara faktor yang boleh menyumbang kepada risiko penderaan termasuk; kekurangan tenaga pengurusan terlatih, terutama dalam pengendalian emosi remaja dan konflik.

Kapasiti asrama melebihi kemampuan pengawasan, menyebabkan jurang kawalan dan pemantauan, serta ketiadaan mekanisme aduan selamat yang mudah diakses pelajar tanpa rasa takut selain kebergantungan kepada sistem lama tanpa penambahbaikan berkala.

“Namun, perlu ditegaskan ini bukan ciri semua institusi. Banyak madrasah dan tahfiz kini lebih progresif dan proaktif dalam menjaga kebajikan pelajar,” kata Mohd Zahid.

Beliau juga menegaskan bahawa PINTA sentiasa menggalakkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan pengurusan berintegriti.

Justeru, sebarang salah laku akan ditangani secara tegas, tanpa mengira status atau latar belakang pelaku.

Maruah institusi agama tidak akan tercalar jika kita berani membetulkan kesilapan dari dalam,” katanya. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author