Terkini
MARA: ‘Sebab nak tolong Melayulah hutang wajib dibayar’ – Asyraf Wajdi
- Demikian penegasan diberikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini selepas menerima mesej yang mempersoalkan tindakan tegas beliau terhadap penghutang atau peminjam MARA.
- Tindakan tegas itu katanya termasuklah mengeluarkan notis kepada peminjam yang gagal membuat bayaran selama tiga bulan.
- Pada Februari lalu, Asyraf Wajdi dilapor mendedahkan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang ditanggung pihaknya kini mencecah 49.6 peratus bernilai RM893 juta, menyebabkan agensi itu bakal mengambil tindakan tegas, termasuk saman terhadap mereka yang masih gagal melunaskan pinjaman terbabit.
KUALA LUMPUR — “Maaf ya! Sebab nak tolong Melayulah hutang WAJIB DIBAYAR. Ramai lagi anak bangsa perlu dibantu.”
Demikian penegasan diberikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini selepas menerima mesej yang mempersoalkan tindakan tegas beliau terhadap penghutang atau peminjam MARA.
Tindakan tegas itu katanya termasuklah mengeluarkan notis kepada peminjam yang gagal membuat bayaran selama tiga bulan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ketegasan Asyraf Wajdi turut mendapat sokongan netizen di ruangan komen yang rata-rata mengingatkan tentang kewajiban membayar balik hutang di mana tindakan itu juga sekali gus akan memberi peluang untuk lebih ramai anak Melayu dapat dibantu kelak.
“Setuju DR ASYRAF WAJDI DUSUKI kadang-kadang benda yang lain boleh je beli tapi hutang culas. Elok kena bagi notis awal-awal jangan beri muka,” komen Mak Teh.
“Tahniah dato atas ketegasan. Cari sampai dapat peminjam yang tak bayar hutang sebelum pergi tuntut dekat penjamin kedua. Ramai yang lepas tangan sebab ada penjamin .. tak pasal-pasal penjamin yang kena kejar, ” komen Tyha Tyha.
Pada Februari lalu, Asyraf Wajdi dilapor mendedahkan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang ditanggung pihaknya kini mencecah 49.6 peratus bernilai RM893 juta, menyebabkan agensi itu bakal mengambil tindakan tegas, termasuk saman terhadap mereka yang masih gagal melunaskan pinjaman terbabit.
Beliau berkata, MARA tidak akan berkompromi dan enggan melayan sebarang permohonan peminjam yang menghantar surat menggunakan nama VIP tertentu untuk mengelak membayar pinjaman perniagaan diberikan kepada mereka kerana wang itu adalah duit rakyat. — The Merdeka Times