Connect with us

Terkini

Kerap hadap skrin boleh sebabkan kanak-kanak lambat bercakap – Doktor perubatan

Published

on

Foto: Doktor perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman
  • Dr Arisman Wenge Abdul Rahman memetik kajian diterbitkan JAMA Pediatrics yang mendapati bahawa kanak-kanak berumur satu tahun yang menghabiskan lebih banyak masa di hadapan skrin berkemungkinan besar mengalami kelewatan dalam komunikasi, kemahiran motor halus, dan perkembangan sosial-peribadi apabila mencapai usia dua hingga empat tahun.
  • Penemuan itu menunjukkan hubungan “dose-response” iaitu, semakin tinggi pendedahan kepada skrin, semakin besar kemungkinan dan tahap keterukan kelewatan perkembangan.
  • Dr Arisman berkata dalam isu ini Akademi Pediatrik Amerika (American Academy of Pediatrics) sarankan tiada masa skrin langsung diberikan kepada kelompok terbabit sebelum mereka berumur 18 bulan.
  • Bagi kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun, masa skrin perlu dihadkan kepada maksimum satu jam sehari.

KUALA LUMPUR — Seorang doktor perubatan mengingatkan bahawa peningkatan masa skrin dalam kalangan kanak-kanak kecil boleh menyumbang kepada kelewatan perkembangan, khususnya dalam aspek pertuturan, penyelesaian masalah dan kemahiran sosial.

Dr Arisman Wenge Abdul Rahman berkata semakin banyak kajian kini menunjukkan kaitan antara pendedahan skrin berlebihan dengan kelewatan perkembangan dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau turut memetik kajian diterbitkan JAMA Pediatrics yang mendapati bahawa kanak-kanak berumur satu tahun yang menghabiskan lebih banyak masa di hadapan skrin berkemungkinan besar mengalami kelewatan dalam komunikasi, kemahiran motor halus, dan perkembangan sosial-peribadi apabila mencapai usia dua hingga empat tahun.

Penemuan itu menurut Dr Arisman telah menunjukkan hubungan “dose-response” iaitu, semakin tinggi pendedahan kepada skrin, semakin besar kemungkinan dan tahap keterukan kelewatan perkembangan.

“Ini menekankan bahawa walaupun penggunaan skrin secara pasif pada usia yang sangat muda boleh menjejaskan pencapaian perkembangan yang penting.

“Pakar pediatrik, termasuk Dr. Cindy Gellner, menegaskan bahawa isu ini bukan semata-mata disebabkan oleh masa skrin itu sendiri, tetapi juga kerana apa yang digantikannya iaitu permainan interaktif, penerokaan secara langsung, dan komunikasi secara bersemuka.

“Walaupun rancangan seperti Sesame Street dan Bluey mempunyai nilai pendidikan, ia sangat berbeza berbanding kandungan tidak interaktif dan tidak mendidik yang sering ditonton oleh ramai kanak-kanak kecil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr Arisman berkata dalam isu ini Akademi Pediatrik Amerika (American Academy of Pediatrics) menyarankan agar tiada masa skrin langsung diberikan kepada kelompok terbabit sebelum mereka berumur 18 bulan.

Manakala, bagi kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun, masa skrin perlu dihadkan kepada maksimum satu jam sehari.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memberi fokus kepada penglibatan aktif seperti berbual, membaca, dan bermain bersama anak bagi menggalakkan perkembangan bahasa, penyelesaian masalah dan kemahiran motor dalam tempoh awal kehidupan yang amat penting ini. — The Merdeka Times

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Arisman.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author