Connect with us

Terkini

Persatuan Ulama Malaysia tegur empat ahli parlimen politikkan isu pendakwaan Firdaus Wong dan Zamri Vinoth

Published

on

Foto: Kenyataan Media Persatuan Ulama Malaysia (PUM).
  • Menurut Pengerusi Sekretariat Syubban PUM, Dr. Ainul Asyraf Lokman, tindakan dipimpin Datuk Seri Saravanan a/l Murugan yang mengadakan sidang media membantah keputusan AGC untuk tidak mendakwa dua pendakwah, Zamri Vinoth dan Firdaus Wong, tanpa sebarang bukti baru yang sah adalah cubaan mengheret isu ini ke kancah politik dan mencetuskan sentimen perkauman secara tidak bertanggungjawab.
  • Tegasnya, Ahli Parlimen terikat dengan sumpah jawatan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Pemisahan Kuasa.
  • Oleh itu, sebarang keputusan undang-undang yang dibuat oleh institusi sah seperti AGC tidak wajar dipolitikkan atau ditekan secara terbuka kerana bertentangan dengan prinsip demokrasi berperlembagaan.

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menzahirkan keprihatinan dan kekesalan mendalam terhadap tindakan empat Ahli Parlimen Malaysia yang secara terbuka mempertikai keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta memberi tekanan terhadap Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut Pengerusi Sekretariat Syubban, Dr. Ainul Asyraf Lokman, tindakan dipimpin oleh Datuk Seri Saravanan a/l Murugan yang mengadakan sidang media membantah keputusan AGC untuk tidak mendakwa dua pendakwah, Zamri Vinoth dan Firdaus Wong, tanpa sebarang bukti baru yang sah adalah cubaan mengheret isu ini ke kancah politik dan mencetuskan sentimen perkauman secara tidak bertanggungjawab.

Beliau menegaskan bahawa Ahli Parlimen terikat dengan sumpah jawatan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Pemisahan Kuasa.

Oleh itu, sebarang keputusan undang-undang yang dibuat oleh institusi sah seperti AGC tidak wajar dipolitikkan atau ditekan secara terbuka kerana bertentangan dengan prinsip demokrasi berperlembagaan.

PUM berpandangan prinsip keadilan mesti berpaksikan bukti sahih, bukan desakan sentimen, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 yang menyeru kepada keadilan dalam menjalankan hukum.

Dr. Ainul Asyraf turut menegaskan keputusan AGC dibuat selepas penelitian siasatan dan bukti polis, dan sebarang bukti baru yang kukuh boleh dibawa melalui proses semakan semula undang-undang, bukan dengan mengheret isu ke media demi kepentingan politik.

Tuduhan tentang “layanan terpilih” dalam kes ini dianggap tidak bertanggungjawab, tidak berasas, dan boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama serta membuka ruang kepada naratif Islamofobia yang menakut-nakutkan umat Islam daripada berdakwah secara sah.

PUM turut menyeru semua pihak terutama ahli politik untuk menghentikan provokasi perkauman dan kebencian agama, menghormati institusi perundangan dan menjunjung prinsip keharmonian nasional dengan menangani isu sensitif berkaitan agama dan kaum secara hikmah dan bertanggungjawab.

Dr. Ainul Asyraf berharap agar rakyat Malaysia khususnya para pemimpin memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta terus menyokong pendakwah seperti Zamri dan Firdaus dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan ilmu.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru pembinaan Malaysia yang rahmah, aman dan harmoni di bawah naungan firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author