Terkini
Pembangunan Kampung Sungai Baru dijangka mula tahun depan – Dr Zaliha
- Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang tertangguh sejak sembilan tahun lalu dijangka memulakan pembinaan pada suku pertama 2026.
- Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata Kebenaran Merancang Susun atur (KMS) dan Kebenaran Merancang Pendirian Bangunan projek tersebut telah diluluskan.
- Ketika ini, katanya pihak pemaju sedang dalam proses mendapatkan kelulusan lain berhubung Kebenaran Merancang daripada agensi berkaitan seperti DBKL.
KUALA LUMPUR — Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang tertangguh sejak sembilan tahun lalu dijangka memulakan pembinaan pada suku pertama 2026, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Dewan Rakyat, Zaliha berkata Kebenaran Merancang Susun atur (KMS) dan Kebenaran Merancang Pendirian Bangunan projek tersebut telah diluluskan.
Ketika ini, katanya pihak pemaju sedang dalam proses mendapatkan kelulusan lain berhubung Kebenaran Merancang daripada agensi berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Majlis perasmian projek dijangka akan diadakan dalam masa terdekat, manakala pelaksanaan pembinaan dijangka akan dimulakan pada suku pertama tahun 2026.
“Dalam masa sama, pemaju juga mendapat desakan daripada pemilik-pemilik yang bersetuju dengan tawaran usaha sama agar pelaksanaan projek ini dapat disegerakan,” katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai-PN) yang yang bertanyakan bilakah projek pembangunan kawasan tersebut akan dimulakan.
Pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang dilapor mula dicadangkan pada 2016, telah mencetuskan pelbagai reaksi dan isu, termasuk wujud ketidaksepakatan dalam kalangan penduduk, pertikaian pampasan dan isu perundangan.
Zaliha dalam jawapan bertulis itu turut memaklumkan bahawa permohonan pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 telah dikemukakan pemaju kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) pada 25 Oktober 2020.
Kelulusan pengambilan tanah bagi 110 unit merangkumi 37 lot teres, 72 unit flat dan 1 lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah diwartakan berdasarkan Seksyen 4, APT 1960 melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9400 bertarikh 18 Jun 2021 dan Seksyen 8, akta yang sama melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9412 bertarikh 21 Jun 2021.
Pewartaan itu jelas beliau adalah berdasarkan subseksyen 3(1)(c) APT 1960 bagi maksud kediaman dan perdagangan. — The Merdeka Times