Terkini
Tiada keterangan mencukupi untuk dakwa Zamri, Firdaus Wong – Azalina
- Tiada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebarang elemen kesalahan terhadap dua individu iaitu Zamri Vinoth dan Firdaus Wong, di bawah mana-mana peruntukan undang-undang bagi mendakwa mereka di mahkamah.
- Itu maklum balas Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.
- Bagaimanapun, sekiranya terdapat perkembangan baharu pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes tersebut masih boleh dijalankan.
KUALA LUMPUR — Tiada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebarang elemen kesalahan terhadap dua individu iaitu Zamri Vinoth dan Firdaus Wong, di bawah mana-mana peruntukan undang-undang bagi mendakwa mereka di mahkamah.
Itu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Azalina, pihak Polis Diraja Malaysia telah pun membuka kertas siasatan melibatkan aduan terhadap kedua-dua individu itu, sebelum ia dirujuk kepada AGC bagi mendapatkan arahan dan keputusan.
“Berdasarkan maklum balas daripada AGC, saya dimaklumkan bahawa AGC setakat ini mendapati tiada keterangan yang mencukupi untuk membuktikan elemen kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang untuk mendakwa kedua-dua individu tersebut di mahkamah,” katanya.
Ia bagi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta supaya dinyatakan mengapakah Zamri Vinoth dan Firdaus Wong belum lagi dituduh di mahkamah walaupun terdapat ratusan laporan polis dibuat terhadap dua individu itu.
Bagaimanapun, Azalina menyatakan bahawa sekiranya terdapat perkembangan baharu pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes tersebut masih boleh dijalankan.
Ini kerana katanya, kes jenayah berbeza dengan kes sivil yang tidak tertakluk kepada had tempoh masa. — The Merdeka Times