Connect with us

Terkini

Peguam saman kerajaan, tuntut teks Perlembagaan Bahasa Melayu diisytihar sahih

Published

on

Foto: Peguam, Haniff Khatri Abdulla
  • Menurut peguam, Haniff Khatri, saman itu dibuat berasaskan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jika dan apabila Perlembagaan diterjemah ke dalam bahasa kebangsaan, YDPA boleh menetapkan teks tersebut sebagai teks sahih.
  • Jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks BM itu dengan teks bahasa Inggeris, maka teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris tersebut.
  • Walaupun YDPA telah melancarkan teks bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan pada 29 September 2003,  sehingga kini kerajaan masih lagi gagal, enggan dan/atau abai daripada menguatkuasakan kedudukan teks tersebut sebagai teks sahih.

 

KUALA LUMPUR — Peguam, Haniff Khatri Abdulla memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa teks Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan merupakan teks sahih yang mengatasi teks bahasa Inggeris.

Menurut Haniff, saman itu dibuat berasaskan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa jika dan apabila Perlembagaan diterjemah ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks tersebut sebagai teks sahih.

“Dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris, maka teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris tersebut, ” katanya dalam kenyataan media di Facebook hari ini

Writ Saman dan Penyata Tuntutan tersebut difailkan atas kapasiti peribadi beliau menerusi firma guaman Tetuan Ahmad Fuad Abi & Aidil, dengan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Tambah Haniff, walaupun Yang di-Pertuan Agong telah melancarkan teks bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan pada 29 September 2003, namun sehingga kini kerajaan masih lagi gagal, enggan dan/atau abai daripada menguatkuasakan kedudukan teks tersebut sebagai teks sahih.

Tindakan itu tegasnya adalah satu kemungkiran kewajipan kerajaan di bawah Perlembagaan untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi melaksanakan kesemua proses dan prosedur sistem tadbir urus yang sah, termasuk untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan.

“Adalah sangat tidak munasabah, bagi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat seperti Malaysia, tetapi masih lagi tidak memiliki teks sahih Perlembagaan di dalam bahasa kebangsaannya sendiri, selepas lebih 6 dekad mencapai kemerdekaan. 

“Peri penting pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah intipati langsung kepada keutuhan patriotisme saya sebagai seorang rakyat Malaysia, yang mana terjejas dan akan terus terjejas seandainya undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, masih tidak dianggap wujud di dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

 

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Haniff Khatri.

Pada 16 Januari lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dilapor bertitah kepada Peguam Negara menerusi sepucuk surat yang menuntut teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu kekal berkuatkuasa.

Salinan surat titah DYMM Raja Perlis itu dikongsikan Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI) di laman Facebook, yang menurut IDENTITI perkara tersebut penting untuk dihebahkan kerana DYMM Raja Perlis sebagai Yang DiPertuan Agong ke-12 telah memperkenan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu sejak 29 September 2003 lagi iaitu 22 tahun yang lalu.

Justeru,  IDENTITI mempersoal sejauh mana bidang perundangan Malaysia menurut titah Raja-Raja Melayu dengan merujuk teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan negara ketika ini. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author