Connect with us

Terkini

(VIDEO) Pemaju roboh rumah tanpa kebenaran DBKL, guna warga asing usir penduduk Kampung Sungai Baru

Published

on

Foto: Aktivis tempatan, Rafidah Ibrahim

KUALA LUMPUR — Wakil penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur mendakwa pemaju telah bertindak merobohkan rumah tanpa kebenaran pelan pembangunan (Development Order/DO) daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencabulan hak milik penduduk dan satu bentuk penindasan.

Menurut Rafidah Ibrahim dalam satu wawancara bersama The Merdeka Times, sehingga kini tiada seorang pun wakil daripada pihak berkuasa termasuk DBKL mahupun pemaju sendiri tampil menemui penduduk untuk mendapatkan penjelasan atau melihat bukti-bukti bantahan yang dikemukakan.

“Apa yang lebih menyedihkan, pemaju lakukan banyak kesalahan semasa perobohan. Mereka guna jentera berat yang menyebabkan gegaran kuat hingga batu besar tercampak keluar dari kawasan perobohan. Kalau kena orang, boleh meragut nyawa,” katanya, sambil menambah bahawa laporan polis, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan aduan rasmi kepada DBKL telah dibuat, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Rafidah turut kecewa apabila pemaju tidak menjalankan kerja-kerja kawalan kesihatan seperti fogging mengikut jadual yang ditetapkan, meskipun kawasan tersebut telah dikosongkan sebahagiannya, sekali gus meningkatkan risiko denggi.

Lebih memburukkan keadaan, insiden 16 Julai lalu menyaksikan pemaju membawa masuk lebih 50 hingga 100 pekerja asing, dipercayai warga Bangladesh, serta menyediakan lebih 10 lori besar bagi tujuan pengusiran paksa penduduk.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu penghinaan kepada komuniti Melayu yang telah lama mendiami kawasan tersebut.

“Kami bukan rasis, tapi ini tanah Melayu, milik orang Melayu. Tindakan bawa warga asing untuk angkut keluar barang penduduk kampung adalah satu penghinaan,” tegas Rafidah lagi.

Menurut beliau, cubaan pengusiran pada hari tersebut gagal apabila penduduk bangkit dan menghalau keluar kumpulan pekerja serta wakil pemaju.

Dakwanya, DBKL turut terlibat secara tidak langsung apabila kenderaan agensi tersebut dilihat berada di kawasan kampung, meskipun kehadiran tidak diumumkan secara rasmi.

Rafidah turut mempertikaikan justifikasi penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 oleh pihak berkuasa untuk memihak kepada pemaju walaupun masih terdapat unit-unit yang enggan bersetuju dengan pembangunan semula.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang mewajibkan 100 peratus persetujuan sebelum sebarang pemindahan boleh dilakukan, dan tindakan sebaliknya dianggap menafikan hak pemilikan individu malah berpotensi menjadi satu kesalahan jenayah.

“Perobohan ini bukan berdasarkan perintah mahkamah. Pemaju pula belum pun dapat DO.

“Jadi, bagaimana mereka boleh robohkan rumah orang sesuka hati?” soalnya, sambil menggesa siasatan segera dilakukan terhadap kes ini.

Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru timbul apabila kawasan perkampungan itu yang terletak di tengah ibu kota dicadangkan untuk dibangunkan semula oleh pihak pemaju.

Penduduk asal ditawarkan unit kondominium sebagai pampasan perpindahan namun proses ini telah mencetuskan pelbagai reaksi. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author