Connect with us

Terkini

Program berkait LGBT: Pihak berwajib termasuk jabatan agama perlu dijemput

Published

on

Foto: Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga, Kuliah Perubatan UIAM, Kuantan, Prof Dr. Samsul Draman
  • Prof. Dr. Samsul berkata penglibatan jabatan agama penting dalam penganjuran program sedemikian kerana ia bukan sahaja memberikan nasihat, tetapi juga bimbingan praktikal, terutamanya berkaitan aspek ibadah seperti solat.
  • Menurutnya, terdapat keperluan untuk mewujudkan garis panduan lebih jelas antara Kementerian Kesihatan (KKM), NGO dan pihak penguatkuasa dalam penganjuran program melibatkan komuniti LGBT untuk mengelakkan sebarang masalah.
  • “PDRM wajib dimaklumkan kerana kita takut fitnah contohnya jika peserta keluar dari kawasan program untuk beli keperluan seperti makanan, masyarakat akan kata peserta mencari pelanggan,” katanya.

KUALA LUMPUR — Setiap pihak berwajib, khususnya jabatan agama perlu dilibatkan atau dijemput untuk menghadiri mana-mana program yang melibatkan kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Saranan itu dikemukakan Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga, Kuliah Perubatan UIAM, Kuantan, Prof Dr. Samsul Draman susulan isu penganjuran satu program berkaitan LGBT yang diadakan di Kota Bharu baru-baru ini.

Serbuan pihak berkuasa ke atas program berkenaan sebelum ini mencetuskan polemik berikutan dakwaan bahawa ia merupakan ‘pesta seks sejenis’, namun beberapa NGO menafikan perkara itu dengan menjelaskan ia merupakan satu program kesihatan.

Mengulas saranannya, Samsul berkata penglibatan jabatan agama penting dalam penganjuran program sedemikian kerana ia bukan sahaja memberikan nasihat, tetapi juga bimbingan praktikal, terutamanya berkaitan aspek ibadah seperti solat.

“Setiap pihak yang berwajib harus terlibat dan dijemput sama khasnya jabatan agama untuk memberi nasihat dan praktikalnya sekali khasnya bab solat, jika dengan Allah pun boleh diremehkan, maka aspek lain lebih parah lagi,” katanya.

Samsul juga berpandangan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan satu garis panduan lebih jelas antara Kementerian Kesihatan (KKM), NGO dan pihak penguatkuasa dalam penganjuran program melibatkan komuniti LGBT untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

Berkongsikan pengalaman beliau sebagai Penasihat Persatuan Insaf Pahang, sebuah NGO yang menumpukan kepada kelompok mak nyah, Samsul berkata setiap program dianjurkan persatuan itu akan dimaklumkan kepada pihak polis dan klinik kesihatan berhampiran.

Selain itu, persatuan tersebut juga melibatkan semua agensi kerajaan, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP),  Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Temerloh, serta institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“PDRM wajib dimaklumkan kerana kita takut fitnah contohnya jika peserta keluar dari kawasan program untuk beli keperluan seperti makanan, masyarakat akan kata peserta mencari pelanggan,” katanya.

Dalam masa sama, Samsul turut mempersoalkan sama ada ubat HIV yang ditemui ketika serbuan itu merupakan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP), yang menurutnya boleh menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai tujuan pemberiannya dalam program tersebut.

Menurut beliau, ubat seperti PrEP sepatutnya hanya boleh diberikan di Klinik Kesihatan, tambahan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali ke 122 yang bersidang pada 18 hingga 20 Oktober 2023 juga berpandangan pemberian dan pengambilan PrEP untuk tujuan maksiat adalah dilarang dan diharamkan.

Sudah tiba masanya hukum penggunaan PrEP ni diwartakan dan dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga berharap agar pihak KKM dapat berbincang dengan jabatan agama berkaitan pemberian PrEP kepada pelaku maksiat, memandangkan Jawatankuasa Fatwa MKI sudah mengharamkan perbuatan itu.

“Ada segelintir pihak kata nanti kena atau dapat HIV lagi teruk (kalau tak ambil PrEP), kita nak balas…’senang je isu PrEP, jika mati itu diketahui masa dan tempatnya, adakah geng gay ini berani guna PrEP?’

“Jika tahu bila nak mati, dah tak berani nak guna PrEP itu, apatah lagi bila tak tahu masa kematian itu. Cukuplah kematian itu sebagai penasihat kepada penggerak dan penggemar PrEP,” katanya. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author