Terkini
Hakim pertahan status Islam anak-anak mualaf kini terajui institusi kehakiman tertinggi
- Menurut peguam Aidil Khalid dalam satu hantaran Facebook, Datuk Wan Ahmad Farid ketika masih Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2023 pernah mengendalikan kes membabitkan tiga anak kepada Loh Siew Hong, yang telah memeluk Islam selepas ibu bapa mereka bercerai.
- Walaupun Mahkamah Persekutuan dalam kes terdahulu Indira Gandhi menyatakan bahawa pengislaman anak-anak perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa,Yang Arif Wan Ahmad Farid memilih untuk tidak mengikut keputusan itu secara membuta tuli.
- “Dalam penghakimannya, beliau menyatakan bahawa tingkah laku dan perbuatan anak-anak itu termasuk solat Subuh dan cita-cita menjadi peguam syarie sudah memadai untuk menunjukkan iktikad mereka kekal dalam Islam, walaupun berada di bawah jagaan penuh ibu non-Muslim mereka,” jelasnya.
KUALA LUMPUR — Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu mencuri perhatian ramai, khususnya dalam kalangan pemerhati perundangan dan masyarakat Islam, berikutan rekod beliau pernah membuat keputusan berani dalam kes sensitif melibatkan status agama anak-anak mualaf.
Menurut peguam Aidil Khalid dalam satu hantaran Facebook, Datuk Wan Ahmad Farid ketika masih Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2023 pernah mengendalikan kes membabitkan tiga anak kepada Loh Siew Hong, yang telah memeluk Islam selepas ibu bapa mereka bercerai.
Anak-anak tersebut menunjukkan komitmen mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk menghafaz al-Quran, mendirikan solat, dan bercita-cita menjadi peguam syarie.
Namun, ibu mereka, Loh, mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pengislaman anak-anak itu.
“Dalam kes ini, Yang Arif Wan Ahmad Farid terpaksa membuat keputusan sama ada mengekalkan pengislaman mereka atau menurut permintaan ibu yang bukan beragama Islam itu,” tulis Aidil.
Walaupun Mahkamah Persekutuan dalam kes terdahulu Indira Gandhi menyatakan bahawa pengislaman anak-anak perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa,Yang Arif Wan Ahmad Farid memilih untuk tidak mengikut keputusan itu secara membuta tuli.
“Sebaliknya, beliau mengguna pakai prinsip daripada kes Dahlia Dhaima demi mempertahankan aqidah kanak-kanak mualaf tersebut.
“Dalam penghakimannya, beliau menyatakan bahawa tingkah laku dan perbuatan anak-anak itu termasuk solat Subuh dan cita-cita menjadi peguam syarie sudah memadai untuk menunjukkan iktikad mereka kekal dalam Islam, walaupun berada di bawah jagaan penuh ibu non-Muslim mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun, keputusan beliau kemudian diakas (dibatalkan) oleh Mahkamah Rayuan, yang memutuskan bahawa prinsip kes Indira Gandhi harus diguna pakai sepenuhnya, sekali gus menyebabkan pengislaman anak-anak tersebut dibatalkan oleh mahkamah lebih tinggi.
Selepas kes itu, Datuk Wan Ahmad Farid telah dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kini, seperti diumumkan secara rasmi tengah malam tadi oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara baharu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Peguam Aidil Khalid dalam catatannya mengharapkan agar Ketua Hakim Negara yang baharu ini terus diberikan kekuatan dan keberanian untuk menegakkan keadilan berdasarkan prinsip ketelusan serta memartabatkan institusi kehakiman negara.-The Merdeka Times