Connect with us

Antarabangsa

Israel manipulasi komuniti Druze untuk cetus kekacauan di Syria – Pemimpin Druze Lubnan

Published

on

Foto: Pemimpin veteran Druze Lubnan, Walid Jumblatt (kanan) dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri).
  • “Ini adalah sebahagian daripada konspirasi Israel. Israel menggunakan segelintir komuniti Druze untuk mengganggu keamanan Syria atas alasan perlindungan.
  • “Israel tidak melindungi sesiapa pun. Ia hanya memperalatkan semua orang untuk kepentingannya dan mengancam keselamatan negara-negara Arab.” – Pemimpin veteran Druze Lubnan, Walid Jumblatt
  • Jumblatt turut mengkritik usaha yang gagal untuk menyatukan kepimpinan Druze di bawah tokoh agama, Hikmat al-Hijri, dan menyarankan agar kumpulan bersenjata diserap ke dalam institusi tentera dan keselamatan Syria melalui kerjasama dengan Damsyik.

 

BEIRUT — Pemimpin veteran Druze Lubnan, Walid Jumblatt, menuduh Israel mengeksploitasi komuniti Druze di selatan Syria bagi mencetuskan kekacauan, sambil memberi amaran bahawa tindakan itu mengancam keselamatan rantau Arab.

Dalam wawancara bersama Al Arabiya pada Khamis, Jumblatt berkata Israel sedang mencetuskan ketegangan di wilayah Suwayda, Syria, sebagai sebahagian daripada agenda untuk melemahkan kestabilan Syria demi kepentingan strategiknya sendiri.

“Ini adalah sebahagian daripada konspirasi Israel. Israel menggunakan segelintir komuniti Druze untuk mengganggu keamanan Syria atas alasan perlindungan.

“Israel tidak melindungi sesiapa pun. Ia hanya memperalatkan semua orang untuk kepentingannya dan mengancam keselamatan negara-negara Arab,” kata Jumblatt, bekas ketua Parti Sosialis Progresif.

Jumblatt menekankan pentingnya penyelesaian politik secara aman di Suwayda di bawah naungan negara Syria, dan menyatakan bahawa rundingan sedang berlangsung dengan tokoh-tokoh nasional di Suwayda serta kerajaan Syria untuk memulihkan keamanan.

Beliau turut memberi amaran bahawa seruan oleh sesetengah puak Druze untuk mendapatkan perlindungan antarabangsa hanya menjadikan mereka “alat politik di tangan Israel”.

“Suwayda adalah sebahagian yang tidak terpisah dari Syria.

“Kita mesti mencapai penyelesaian politik yang mempertahankan identiti Arab wilayah itu dan memastikan ia kekal dalam kesatuan nasional Syria,” tambahnya.

Jumblatt turut mengkritik usaha yang gagal untuk menyatukan kepimpinan Druze di bawah tokoh agama, Hikmat al-Hijri, dan menyarankan agar kumpulan bersenjata diserap ke dalam institusi tentera dan keselamatan Syria melalui kerjasama dengan Damsyik.

Israel melancarkan beberapa siri serangan udara pada Selasa, menyasarkan posisi ketenteraan Syria, Kementerian Pertahanan serta kawasan berhampiran istana presiden di Damsyik.

Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, pada Khamis turut menuduh Israel cuba mencetuskan konflik lebih meluas, namun menegaskan bahawa Syria tidak akan terheret ke dalam peperangan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pertempuran antara puak Badwi dan penduduk Druze semakin memuncak di bandar Suwayda yang majoriti penduduknya berketurunan Druze, dengan tentera kerajaan Syria kini telah dikerahkan ke kawasan tersebut. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author