Connect with us

Terkini

Kos rawatan HIV kini sekitar RM500 setahun seorang, ASEAN didesak bertindak

Published

on

Foto: Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni

 

  • Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni, menegaskan  lonjakan kos rawatan ini memerlukan tindakan kolektif daripada negara-negara ASEAN bagi memastikan akses kepada rawatan HIV kekal mampu milik dan adil untuk semua lapisan masyarakat.
  • “Jika tidak, ASEAN berisiko kehilangan momentum dalam usaha menangani HIV dan AIDS.” – Timb. Menteri Kesihatan

 

KUCHING – Kos rawatan bagi seorang pesakit HIV di negara-negara ASEAN kini mencecah kira-kira RM500 setahun, dan angka itu dijangka terus meningkat selaras dengan peningkatan kes baharu saban tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni, menegaskan bahawa lonjakan kos rawatan ini memerlukan tindakan kolektif daripada negara-negara ASEAN bagi memastikan akses kepada rawatan HIV kekal mampu milik dan adil untuk semua lapisan masyarakat.

“Jika tidak, ASEAN berisiko kehilangan momentum dalam usaha menangani HIV dan AIDS,” katanya pada Majlis Perasmian ASEAN Regional Dialogue on Affordable Antiretroviral (ARV) Drugs and Promoting Community Based Testing (CBT) di sini, hari ini.

Menurut beliau, pengurangan drastik dalam bantuan kewangan daripada badan antarabangsa seperti Global Fund dan PEPFAR menambah tekanan ke atas sistem kesihatan serantau, sekali gus meningkatkan beban kos rawatan kepada kerajaan dan pesakit.

Buat masa ini, rawatan standard menggunakan ubat Tenofovir Lamivudine-Dolutegravir (TLD) berpotensi menurunkan kos rawatan tahunan daripada RM500 kepada RM209.

Namun, Lukanisman berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang berusaha untuk menurunkannya lagi kepada hanya RM100 setahun.

“Ubat ini penting untuk mengekalkan kejayaan rawatan dan sejajar dengan yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” ujarnya.

Beliau juga mencadangkan agar negara ASEAN mengkaji strategi perolehan ubat secara bersama, termasuk melalui pendekatan seperti lesen sukarela, mekanisme perolehan serantau, dan penyertaan dalam Medicines Patent Pool, bagi mendapatkan harga ubat yang lebih kompetitif.

Tambahnya lagi, hanya dengan tindakan bersatu dan terkoordinasi, ASEAN dapat memastikan rawatan HIV kekal mudah diakses dan mampu milik, sekaligus merealisasikan matlamat penghapusan wabak AIDS menjelang tahun 2030. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author