Terkini
eHATI: Polis sahkan ada adegan bogel, kononnya naikkan motivasi diri
- Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan mendapati program tersebut menawarkan dua pakej kepada peserta dengan bayaran sekitar RM6,000 bagi pakej A, manakala pakej B berharga RM9,000, termasuk Queens Night.
- Aktiviti berbogel itu sekurang-kurangnya melibatkan empat individu.
- Difahamkan, adegan itu merupakan sebahagian acara ‘rebirth’ kononnya untuk menaikkan motivasi diri dalam Queens Night.
- Beberapa cecair dipercayai digunakan sebagai minuman semasa program terbabit dirampas dan dihantar kepada Jabatan Kimia.
- Program itu tidak fokuskan individu beragama Islam sebaliknya dianjurkan kepada semua.
KUALA LUMPUR — Polis mengesahkan wujud adegan berbogel dalam acara dipanggil sebagai Queen’s Night menerusi program motivasi rumah tangga e-Hati di Pusat Konvensyen IDCC di Shah Alam, pada September tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan mendapati program tersebut menawarkan dua pakej kepada peserta dengan bayaran sekitar RM6,000 bagi pakej A, manakala pakej B berharga RM9,000, termasuk Queens Night.
“Sehingga kini hasil siasatan mendapati memang ada aktiviti berbogel yang berlaku dalam majlis itu sekurang-kurangnya melibatkan empat individu.
“Difahamkan, mereka melakukan adegan itu merupakan sebahagian daripada acara yang dipanggil ‘rebirth’ kononnya untuk menaikkan motivasi diri dalam Queens Night,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Hussein berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan, termasuk beberapa cecair yang dipercayai digunakan sebagai minuman semasa program terbabit.
Kandungan cecair itu dikatakan telah dihantar kepada Jabatan Kimia bagi mengenal pasti sama ada ia mengandungi dadah atau lain-lain bahan terlarang.
Tambah beliau, pihaknya juga sudah mengenal pasti 50 peserta yang menyertai program berkenaan dan mereka diminta untuk tampil bagi memberi keterangan.
“Kita sudah ada semua senarai peserta, mereka diminta tampil untuk hadir dan setakat ini seramai 30 individu sudah tampil memberi keterangan.
“Siasatan juga mendapati program ini tidak hanya memfokuskan individu beragama Islam sebaliknya ia dianjurkan kepada semua,” katanya yang memaklumkan terdapat golongan profesional dan penjawat awam turut dikesan antara yang menyertai program berkenaan.
Bagaimanapun, katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan beliau meminta supaya pihak polis diberikan ruang untuk itu.
Terdahulu, media melaporkan enam individu, termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn Bhd (eHati) dan seorang anak perempuan mereka direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
Kesemua suspek melibatkan empat wanita dan dua lelaki akan disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh, Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil. — The Merdeka Times