Terkini
Pengasas eHati dan anak antara enam individu direman 3 hari
- Kesemua suspek melibatkan empat wanita dan dua lelaki akan disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh, Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
- Perintah reman sehingga 18 Julai depan dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas membenarkan permohonan pihak polis terhadap kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 47 tahun.
KUALA LUMPUR — Enam individu, termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn Bhd (eHati) dan seorang anak perempuan mereka dilapor direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.
Kesemua suspek melibatkan empat wanita dan dua lelaki akan disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh, Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Perintah reman sehingga 18 Julai depan dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas membenarkan permohonan pihak polis terhadap kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 47 tahun.
Terdahulu, kesemua mereka tiba dengan kawalan ketat polis kira-kira jam 10 pagi sebelum dibawa memasuki Mahkamah kira-kira jam 11.10 pagi.
Semalam, peguam, Datuk M Reza Hassan dilapor mengesahkan, anak guamnya ditahan polis daerah Shah Alam selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial, Masyitah Ashari dilapor mendakwa berlaku aktiviti tidak bermoral dan bercanggah akidah Islam dalam sebuah program pembangunan kendiri dikenali sebagai eHati, yang diadakan di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September 2024.
Dalam satu hantaran di Facebook, Masyitah mendakwa pengasas eHati, Diyana Tahir, telah muncul dalam keadaan tidak bertudung dan berpakaian seksi pada malam terakhir program, sebelum menanggalkan pakaiannya dan menari di hadapan peserta wanita, yang didakwa menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan mereka.— The Merdeka Times