Antarabangsa
Menteri Israel desak Presiden Syria dihapuskan susulan serangan ke atas Druze
- Dalam hantaran berbahasa Inggeris dan Ibrani di platform media sosial X, Chikli menyifatkan al-Sharaa sebagai “seorang pengganas dan pembunuh kejam” yang tidak layak diiktiraf sebagai pemimpin sah.
- “Sesiapa yang menganggap Ahmad al-Sharaa sebagai pemimpin sah sedang melakukan kesilapan besar,” katanya.
- Sejak al-Sharaa mengambil alih kuasa di Syria hujung tahun lalu, pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar Gideon Sa’ar telah menunjukkan pendirian keras terhadap beliau kerana kaitan lamanya dengan Al-Qaeda dan konflik dengan kumpulan minoriti seperti Druze dan Alawite.
BAITULMAQDIS – Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli, menggesa agar Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, “dihapuskan segera” susulan serangan dilaporkan terhadap komuniti Druze di Syria yang didakwa dilakukan oleh tentera rejim pimpinan al-Sharaa.
Dalam hantaran berbahasa Inggeris dan Ibrani di platform media sosial X, Chikli menyifatkan al-Sharaa sebagai “seorang pengganas dan pembunuh kejam” yang tidak layak diiktiraf sebagai pemimpin sah.
“Sesiapa yang menganggap Ahmad al-Sharaa sebagai pemimpin sah sedang melakukan kesilapan besar,” katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas Israel mengumumkan rancangan untuk menyerang sasaran tentera Syria sebagai tindak balas terhadap laporan serangan ke atas kaum Druze.
Chikli turut berkongsi rakaman video yang menunjukkan anggota tentera Syria dilihat mencukur janggut lelaki Druze secara paksa sambil mengejek mereka.
“Jika ia kelihatan seperti Hamas, bercakap seperti Hamas, dan bertindak seperti Hamas maka ia adalah Hamas!”, tulis Chikli yang menyamakan tindakan tentera Syria dengan kumpulan pejuang Hamas di Gaza.
Beliau turut menyentuh tentang pembunuhan beramai-ramai ke atas masyarakat Alawite sebelum ini yang menurutnya tidak mendapat reaksi sewajarnya daripada pemimpin Eropah.
“Sekarang kita menyaksikan penyembelihan dan penghinaan terhadap komuniti Druze. Rejim keganasan di Syria mesti dilawan,” tegas Chikli
Sejak al-Sharaa mengambil alih kuasa di Syria hujung tahun lalu, pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar Gideon Sa’ar telah menunjukkan pendirian keras terhadap beliau kerana kaitan lamanya dengan Al-Qaeda dan konflik dengan kumpulan minoriti seperti Druze dan Alawite.
Walaupun retorik keras Israel mula reda selepas Presiden AS Donald Trump menarik balik sekatan terhadap Syria pada Mei lalu, pertempuran baru-baru ini antara tentera Syria dan militia Druze menyebabkan Israel kembali melancarkan serangan udara intensif ke atas Syria yang menurutnya bertujuan melindungi komuniti Druze dan mencegah ancaman terhadap keselamatan Israel. -The Merdeka Times