Terkini
Peningkatan kes HIV pelajar IPT cerminan kegagalan sistem pendidikan dan sosial

- Angka tinggi mencecah 222 pelajar IPT positif HIV pada tahun lalu, dengan majoriti berusia antara 18 hingga 19 tahun isyarat jelas berlakunya krisis moral dan kesihatan awam yang memerlukan campur tangan segera semua pihak.
- Ia juga cerminan kegagalan sistem pendidikan dan institusi sosial menyampaikan pendidikan kesihatan seksual secara berkesan dan berlandaskan nilai agama serta budaya tempatan.
- Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) gesa kerajaan mewajibkan subjek Pendidikan Seksual Bersepadu berlandaskan nilai agama dan budaya, bermula di peringkat sekolah menengah hingga ke IPT.
- Negara bakal kehilangan modal insan jika isu tersebut terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas dan menyeluruh.
KUALA LUMPUR — Angka tinggi mencecah 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disahkan positif HIV pada tahun lalu, dengan majoriti berusia antara 18 hingga 19 tahun adalah isyarat jelas berlakunya krisis moral dan kesihatan awam yang memerlukan campur tangan segera semua pihak.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Dr Armin Baniaz Pahamin dilapor menegaskan bahawa peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar itu bukan sekadar masalah perubatan.
Tetapi, ia juga mencerminkan kegagalan sistem pendidikan dan institusi sosial dalam menyampaikan pendidikan kesihatan seksual secara berkesan dan berlandaskan nilai agama serta budaya tempatan.
“Golongan pelajar sepatutnya menjadi aset negara, namun kini terdedah kepada gejala berisiko tinggi seperti jangkitan HIV disebabkan pergaulan bebas, kurang bimbingan agama, tekanan sosial di kampus dan pengaruh media sosial,” katanya menerusi satu kenyataan dipetik media tempatan pada Khamis.
Menurut beliau, antara punca utama penularan wabak itu ialah ketiadaan pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh, budaya liberal di kampus serta penjualan kondom dan ubat perangsang secara terbuka.
Sehubungan itu, GEM menggesa kerajaan mewajibkan subjek Pendidikan Seksual Bersepadu yang berlandaskan dengan nilai agama dan budaya, bermula di peringkat sekolah menengah hingga ke IPT.
Selain itu, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi diminta supaya berganding bahu melaksanakan saringan HIV berkala, pendidikan pencegahan dan menubuhkan pusat intervensi awal serta kaunseling di semua IPT.
“Langkah penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak bermoral perlu diperkukuh, selain melibatkan peranan ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membina sistem sokongan lebih utuh kepada pelajar yang berisiko,” katanya.
Dr Armin turut mengingatkan bahawa negara ini bakal kehilangan modal insan sekiranya isu tersebut terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas dan menyeluruh.
“Kita tidak mampu lagi bertolak ansur. Sudah tiba masanya semua pihak memainkan peranan,” katanya. — The Merdeka Times
