Terkini
Tauke vape dilantik Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau: “Saya telah letak jawatan..” – Adzwan Abdul Manas

- Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Datuk Adzwan Abdul Manas berkata beliau pada mulanya terima tawaran tersebut untuk bantu hubungan dua hala antara pesakit dan hospital.
- Bagaimanapun, selepas memikirkan impak dan pandangan negatif akan diterima disebabkan perniagaan vape, jawatan berkenaan dilepaskan.
- Kenyataan itu ditulis bagi mengulas hantaran Facebook Firdaus Wong Wai Hung bertajuk, “Tauke Vape Dilantik Ahli Lembaga Pelawat Hospital Oleh KKM”.
KUALA LUMPUR — Individu dikenali sebagai tokoh terkemuka dalam industri vape iaitu Datuk Adzwan Abdul Manas yang sebelum ini didakwa dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan memaklumkan beliau telah meletakkan jawatan tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Adzwan berkata beliau pada mulanya menerima tawaran tersebut hanya untuk membantu hubungan dua hala antara pesakit dan hospital.
Bagaimanapun, katanya selepas memikirkan tentang impak dan pandangan negatif yang akan diterima disebabkan perniagaan vape, maka beliau memutuskan melepaskan jawatan berkenaan.
“Jawatan berkenaan hanyalah jawatan yang tidak bergaji dan lebih kepada bersifat NGO sahaja. Sesiapa sahaja boleh dilantik ke jawatan berkenaan.
“Bukanlah salah Menteri Kesihatan apabila mengeluarkan surat perlantikan berkenaan tetapi lebih kepada kelemahan saya sendiri, yang mana saya yakin niatnya hanyalah yang baik sahaja untuk rakyat.
“Sekali lagi ditegaskan saya telah pun meletakkan jawatan berkenaan demi kepentingan semua pihak,” katanya tanpa menyatakan secara lanjut tarikh peletakan jawatan tersebut.
Beliau menulis kenyataan tersebut bagi mengulas hantaran Facebook Firdaus Wong Wai Hung bertajuk, “Tauke Vape Dilantik Ahli Lembaga Pelawat Hospital Oleh KKM”.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Adzwan.
The Merdeka Times pagi tadi melaporkan seorang tokoh terkemuka dalam industri vape yang juga pengerusi kepada sebuah syarikat rokok elektronik didakwa telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau.
Surat pelantikan Adzwan yang telah ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dapat dilihat di Facebook miliknya yang memuat naik surat tersebut pada 23 Jun lalu.
Tinjauan di laman web rasmi Hospital Rembau hari ini mendapati nama Adzwan, masih tersenarai sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pelawat Hospital berkenaan.
Adzwan merupakan Pengerusi VEmpire, sebuah syarikat yang terlibat dalam pengeluaran dan pembekalan produk vape ke pasaran tempatan dan luar negara. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), yang dilapor aktif menolak larangan penjualan vape secara total di negara ini. — The Merdeka Times
