Antarabangsa
Thailand kembali haramkan ganja rekreasi, Kekal untuk perubatan
- Menurut Menteri Kesihatan Awam, Somsak Thepsutin, satu notis baharu kementeriannya yang memerlukan preskripsi perubatan untuk penggunaan ganja telah ditandatangani awal minggu ini dan bakal berkuat kuasa dalam masa terdekat.
- Kegagalan mewujudkan rangka kerja peraturan selepas pengguguran ganja daripada senarai dadah telah menyebabkan lebih 10,000 premis menjual ganja muncul di seluruh negara.
- “Ia sudah menjadi masalah yang berlarutan dan kami terima banyak aduan. Ketika ini, ia diklasifikasikan sebagai herba terkawal untuk kegunaan perubatan sahaja, tetapi akan datang ia akan kembali dikategorikan sebagai dadah terlarang,” kata Somsak kepada media sebelum mesyuarat Kabinet.
BANGKOK — Kerajaan Thailand kini sedang mengambil langkah untuk mengharamkan semula penggunaan ganja bagi tujuan bukan perubatan, susulan pergolakan politik yang menyebabkan parti pro-ganja menarik diri daripada gabungan pemerintah.
Perkembangan ini mengancam industri ganja yang berkembang pesat dan hampir tidak terkawal di negara itu sejak 2022.
Menurut Menteri Kesihatan Awam, Somsak Thepsutin, satu notis baharu kementeriannya yang memerlukan preskripsi perubatan untuk penggunaan ganja telah ditandatangani awal minggu ini dan bakal berkuat kuasa dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan bahawa kegagalan mewujudkan rangka kerja peraturan selepas pengguguran ganja daripada senarai dadah telah menyebabkan lebih 10,000 premis menjual ganja muncul di seluruh negara.
“Ia sudah menjadi masalah yang berlarutan dan kami terima banyak aduan.
“Ketika ini, ia diklasifikasikan sebagai herba terkawal untuk kegunaan perubatan sahaja, tetapi akan datang ia akan kembali dikategorikan sebagai dadah terlarang,” kata Somsak kepada media sebelum mesyuarat Kabinet.
Langkah ini menandakan perubahan besar bagi Thailand, yang menjadi negara pertama di Asia menghalalkan ganja secara rasmi untuk semua kegunaan pada tahun 2022.
Ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan perniagaan ganja tumbuh pesat, termasuk di kawasan pelancongan utama dan pusat bandar seperti Bangkok. Aktiviti penyeludupan ganja rentas sempadan turut meningkat dengan ketara.
Ancaman untuk menjadikan ganja semula sebagai dadah terlarang bukanlah sesuatu yang baharu. Isu ini telah lama menjadi titik perbalahan antara Parti Pheu Thai pimpinan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dan bekas sekutunya, Parti Bhumjaithai, yang menjadi pelopor dasar penghalalan ganja.
Sejak membentuk kerajaan pada 2023, kedua-dua parti kerap bertelingkah tentang hala tuju dasar berkaitan ganja.
Parti Bhumjaithai kini tidak lagi berada dalam gabungan pemerintah selepas keluar minggu lalu susulan ketegangan dalam pengurusan pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Namun, perbezaan pandangan antara kedua-dua parti telah berlarutan selama beberapa bulan sebelum itu, termasuk isu penggubalan Rang Undang-Undang Ganja yang masih belum diluluskan Kabinet.
Somsak memaklumkan bahawa kerajaan akan mengehadkan penggunaan ganja kepada tujuan perubatan buat masa ini, sementara dasar pengharaman semula secara menyeluruh sedang dirangka.
Kementeriannya juga bercadang mewajibkan kehadiran doktor di setiap premis ganja sebagai syarat pelesenan baharu.
Sementara itu, Rang Undang-Undang Ganja yang diperkenalkan pada September 2024 bagi mengawal penjualan, pengeluaran dan eksport tumbuhan itu dijangka digugurkan. -The Merdeka Times