Terkini
Enggan campur tangan isu dalaman FAM, Hannah Yeoh diminta berundur
- Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong kritik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mendakwa tidak mengetahui isu politik dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana enggan mencampuri urusan pentadbiran mana-mana persatuan.
- Kenyataan itu beri gambaran seolah-olah Hannah bersikap lepas tangan dan tidak prihatin terhadap masalah industri sukan negara.
- Realitinya ketika ini beberapa sukan utama negara turut berdepan isu dalaman, termasuk badminton dan olahraga.
- Prestasi kontinjen Malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa juga menunjukkan penurunan ketara dan tiada lonjakan membanggakan.
- Mei lalu, Hannah menegur pihak gagal mengurus persatuan sukan agar meletakkan jawatan, maka sewajarnya beliau harus ajukan persoalan sama kepada diri sendiri.
KUALA LUMPUR — “Kalau tak mampu, lebih baik undur!”
Itu penegasan Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong dalam hantaran terbaru di Facebook yang mengkritik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mendakwa tidak mengetahui tentang isu politik dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana enggan mencampuri urusan pentadbiran mana-mana persatuan.
Menurut Choo Seong, kenyataan Hannah Yeoh itu memberi gambaran seolah-olah beliau bersikap lepas tangan dan tidak prihatin terhadap permasalahan yang membelenggu industri sukan negara.
Jelasnya, sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan negara, adalah menjadi tanggungjawab Hannah Yeoh untuk turun padang, memahami permasalahan dan membantu mencari penyelesaian.
“Bukan sekadar melepaskan tangan dengan alasan kononnya tiada kaitan, atau menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pertikaian Sukan tanpa sebarang usaha campur tangan yang konstruktif,” kata Choo Seong.
Tambahnya, sikap berdiam diri dan enggan mengambil tahu hanya menambahkan persepsi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak memainkan peranan sewajarnya.
Beliau berkata realitinya ketika ini beberapa sukan utama negara turut berdepan isu dalaman, termasuk badminton dan olahraga.
“Malah, Malaysia turut menghadapi kekurangan atlet kebangsaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Prestasi kontinjen Malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa juga menunjukkan penurunan ketara dan tiada lonjakan yang membanggakan.
“Perlu diingat, pada bulan Mei lalu, Hannah sendiri pernah menegur pihak yang gagal mengurus persatuan sukan agar meletakkan jawatan… Maka sewajarnya, beliau juga harus mengajukan persoalan sama kepada diri sendiri,” katanya yang turut menyertakan beberapa gambar tangkap layar berkaitan menerusi hantaran FB itu.
Menegaskan bahawa kepimpinan bukan sahaja diukur ketika saat gemilang, tetapi bagaimana seseorang itu bertindak ketika krisis melanda, Choo Seong berpandangan sudah tiba masanya Hannah Yeoh menunjukkan contoh kepimpinan melalui teladan sebagaimana dilakukan secara terhormat oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Neow Choo Seong.
KBS sebelum ini dilapor menegaskan tidak akan campur tangan dalam sebarang isu dalaman membabitkan mana-mana persatuan sukan di negara ini, termasuk FAM.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata pendirian itu selaras dengan dasar kementerian yang memberi kebebasan kepada setiap persatuan sukan untuk menguruskan hal ehwal mereka secara autonomi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski, yang sebelum ini membayangkan wujudnya isu dalaman dan tekanan tertentu yang dihadapi pasukannya dalam usaha membawa kemajuan kepada bola sepak negara.— The Merdeka Times