Antarabangsa
Netanyahu akui Israel guna penjenayah Palestin lawan Hamas di Gaza
- Ini merupakan kali pertama kerajaan Israel secara terbuka mengakui menyokong kumpulan Palestin bersenjata yang dikaitkan dengan keluarga-keluarga berpengaruh di Gaza iaitu pekerja bantuan yang melakukan jenayah termasuk merompak bantuan kemanusiaan, ketika rakyat Gaza berdepan kebuluran akibat sekatan ketat Israel.
- Memetik sumber di Gaza bahawa kumpulan itu terdiri daripada kira-kira 100 lelaki bersenjata yang beroperasi dengan “restu” tidak rasmi daripada tentera Israel.
- “Tetapi, pendekatan ini tidak diterima baik oleh rakyat Israel sendiri yang melihat kumpulan tersebut sebagai entiti jenayah bersenjata. Mereka bimbang senjata Israel kini jatuh ke tangan kumpulan yang tidak bertanggungjawab.” – Wartawan Al Jazeera, Hamdah Salhut
BAITULMAQDIS — Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengakui bahawa negaranya menyokong kumpulan bersenjata di Gaza bagi membantu menentang Hamas.
Netanyahu dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di platform X pada Khamis berkata, kerajaan telah “mengaktifkan” kumpulan-kumpulan tempatan berpengaruh atas nasihat pegawai keselamatan.
Pengakuan itu dibuat hanya beberapa jam selepas bekas Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman mendakwa Netanyahu menggunakan taktik tersebut.
Ini merupakan kali pertama kerajaan Israel secara terbuka mengakui menyokong kumpulan Palestin bersenjata yang dikaitkan dengan keluarga-keluarga berpengaruh di Gaza iaitu pekerja bantuan yang melakukan jenayah termasuk merompak bantuan kemanusiaan, ketika rakyat Gaza berdepan kebuluran akibat sekatan ketat Israel.
Seorang pegawai Israel yang dipetik oleh agensi berita Associated Press berkata, antara kumpulan yang dimaksudkan Netanyahu ialah “Pasukan Popular” yang diketuai oleh Yasser Abu Shabab, seorang ketua klan terkenal di Rafah.
Akhbar Israel Haaretz sebelum ini melaporkan kegiatan kumpulan tersebut yang disebut sebagai “Perkhidmatan Anti-Keganasan”.
Memetik sumber di Gaza bahawa kumpulan itu terdiri daripada kira-kira 100 lelaki bersenjata yang beroperasi dengan “restu” tidak rasmi daripada tentera Israel.
Baru-baru ini kumpulan Abu Shabab mengumumkan bahawa mereka membantu mengawal selia penghantaran bekalan ke pusat pengagihan baru yang disokong oleh AS dan Israel, dikendalikan oleh sebuah entiti misteri bernama Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
“Pihak pembangkang Israel mendakwa tiada perbincangan atau kelulusan rasmi dalam kerajaan atau kabinet mengenai tindakan ini,” lapor wartawan Al Jazeera, Hamdah Salhut dari Amman, Jordan.
“Namun Netanyahu berpendapat bahawa kumpulan-kumpulan bersenjata ini mampu membantu Israel menumpaskan Hamas di Gaza,” jelas Hamdah.
“Tetapi, pendekatan ini tidak diterima baik oleh rakyat Israel sendiri yang melihat kumpulan tersebut sebagai entiti jenayah bersenjata.
Mereka bimbang senjata Israel kini jatuh ke tangan kumpulan yang tidak bertanggungjawab,” tambah beliau. -The Merdeka Times