Antarabangsa
Skandal dana kuil: Bekas sami Buddha akhirnya serah diri selepas tujuh tahun diburu
- Phra Phrom Methee merupakan salah seorang daripada tujuh sami yang dilucutkan pangkat berikutan skandal membabitkan jutaan baht yang diseleweng daripada dana pembangunan kuil dan pengajian agama Buddha yang diperuntukkan oleh Pejabat Kebangsaan Agama Buddha.
- Beliau berdepan pertuduhan bersubahat dalam salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.
- Namun, beliau menafikan semua pertuduhan dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 400,000 baht.
BANGKOK — Seorang bekas pembantu Ketua Sami Wat Samphanthawong yang telah melarikan diri selama tujuh tahun, akhirnya pulang dari Jerman dan menyerah diri kepada pihak berkuasa Thailand berhubung kes penyelewengan dana kuil.
Menurut pihak polis, Phra Phrom Methee, 84, yang nama asalnya Chamnong Lamintra, tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Frankfurt pada jam 6.30 pagi Khamis lalu.
Beliau dilihat tiba di lapangan terbang menggunakan kerusi roda dan kemudiannya dibawa ke Bahagian Pencegahan Rasuah di Bangkok untuk siasatan lanjut.
Phra Phrom Methee merupakan salah seorang daripada tujuh sami yang dilucutkan pangkat berikutan skandal membabitkan jutaan baht yang diseleweng daripada dana pembangunan kuil dan pengajian agama Buddha yang diperuntukkan oleh Pejabat Kebangsaan Agama Buddha.
Pada 24 Mei 2018, polis menjalankan serbuan ke atas Wat Samphanthawong, Wat Sa Ket dan Wat Sam Phraya di Bangkok untuk menangkap tujuh sami kanan yang disyaki terlibat dalam penyelewengan tersebut.
Pada hari serbuan, Phra Phrom Methee berada di wilayah Phitsanulok dan dilaporkan telah pergi ke Nakhon Phanom, bukannya kembali ke Bangkok.
Dari situ, beliau melintasi Sungai Mekong ke Laos dan seterusnya ke Ho Chi Minh City sebelum menaiki penerbangan Qatar Airways ke Frankfurt.
Susulan itu, beliau turut disingkirkan daripada Majlis Tertinggi Sangha, badan tertinggi agama Buddha di Thailand.
Menurut sumber polis, beliau berdepan pertuduhan bersubahat dalam salah guna kuasa serta pengubahan wang haram. Namun, beliau menafikan semua pertuduhan dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 400,000 baht.-The Merdeka Times