Connect with us

Terkini

Pusat Racun Negara USM catat lonjakan kes keracunan akibat vape

Published

on

Foto: Pusat Racun Negara USM
  • Pusat Racun Negara USM rekod peningkatan mendadak panggilan kes keracunan akibat pendedahan kepada vape disyaki mengandungi bahan terlarang sejak 2022.
  • Majoriti kes, 81 peratus, melibatkan vape didakwa sebagai Magic Mushroom Vape dengan kebanyakan kes membabitkan remaja berusia 15-19 tahun (41 peratus) dan belia 20 tahun (53 peratus).
  • Kebanyakan pesakit alami gejala seperti sawan, pengsan, muntah dan gejala psikiatri seperti halusinasi, delusi dan perubahan sikap, termasuk bertindak agresif.
  • “Sebahagian besar kes menunjukkan gejala keracunan serius walaupun dengan satu dua sedutan sahaja, pesakit mengalami sawan dan tingkah laku tidak normal yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang sekeliling,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

 

KUALA LUMPUR — Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Perkhidmatan Khidmat Nasihat Keracunan merekodkan peningkatan mendadak panggilan kes keracunan akibat pendedahan kepada vape disyaki mengandungi bahan terlarang sejak 2022.

PRN dalam hantaran di Facebook berkata dapatan itu membuktikan keperluan mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan segera mengekang lebih ramai lagi rakyat Malaysia menjadi mangsa penagihan bahan terlarang, terutama dadah jenis baharu seperti kanabinoid sintetik yang dikesan dalam cecair vape. 

Jelasnya,  sebanyak 76 panggilan berkaitan kes pendedahan vape disyaki mengandungi bahan terlarang telah dirujuk antara 2020 hingga 2024 menurut data PRN, dengan lonjakan ketara bermula tahun 2022 iaitu 65 peratus (17 kes) daripada jumlah kes pendedahan vape pada tahun tersebut.

Kes sedemikian menurutnya meningkat saban tahun dengan 79 peratus (27 kes) pada 2023, dan 68 peratus (26 kes) pada 2024.

“Majoriti kes, 81 peratus, melibatkan vape yang didakwa sebagai Magic Mushroom Vape dengan kebanyakan kes membabitkan remaja berusia 15-19 tahun (41 peratus) dan belia 20 tahun (53 peratus), membuktikan trend ini semakin membarah dalam kalangan generasi muda.

“Kebanyakan pesakit tersebut mengalami gejala seperti sawan, pengsan, muntah dan juga gejala psikiatri seperti halusinasi, delusi dan perubahan sikap termasuk bertindak agresif.

“Sebahagian besar kes menunjukkan gejala keracunan serius walaupun dengan satu dua sedutan sahaja, pesakit mengalami sawan dan tingkah laku tidak normal yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang sekeliling,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Rentetan daripada dapatan tersebut, PRN berkata pihaknya telah menjalankan analisis terhadap beberapa sampel cecair vape yang didakwa mengandungi Magic Mushroom dan mendapati kandungan sebenarnya adalah dadah sintetik yang boleh menyebabkan keracunan teruk sehingga membawa maut.

Dapatan itu sekali gus membuktikan vape sangat mudah dimanipulasi dan tanpa kawalan ketat, ia membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah berbahaya dalam masyarakat.

Tambah PRN, dalam hal ini remaja menjadi sasaran utama penjualan produk itu kerana akses mudah melalui platform dalam talian yang sukar dikawal.

“Peningkatan kes keracunan vape membuktikan keperluan segera untuk penguatkuasaan secara segera oleh pihak kerajaan melalui Akta 852 serta sokongan kuat di peringkat negeri.

“Usaha beberapa negeri yang telah dan bakal mengharamkan penjualan dan penggunaan vape wajar disokong sepenuhnya demi melindungi generasi muda daripada ancaman dadah baharu yang sukar dikesan dan semakin berleluasa.

“PRN menggesa agar semua kerajaan negeri dapat bersatu dan bersepakat melaksanakan pengharaman penjualan produk vape dengan kadar segera,” katanya. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author