Connect with us

Terkini

Doktor tidak wajar sembunyikan jenayah pesakit gugur kandungan tanpa alasan munasabah – Pengamal Undang-undang

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan
  • Siti Nur Zulaikha Abd Kadir berkata ini kerana perbuatan menamatkan kehamilan tanpa sebab atau alasan yang munasabah bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah ditegah oleh agama Islam.
  • Walaupun doktor bertanggungjawab lindungi orang yang mendapatkan rawatan, namun tidak wajar dia sembunyikan perbuatan jenayah pesakit. 
  • Wanita yang sudah akil baligh sewajarnya mengetahui kesan tindakan dilakukannya dan menjauhi perbuatan menyebabkan kehamilan tidak diingini.
  • “Dalam keprihatinan terhadap isu hak asasi manusia, perlu diingatkan bahawa terdapat batas serta limitasi terhadap sesuatu hak asasi manusia tersebut yang mana undang-undang yang digubal serta dilaksanakan telah disesuaikan dengan norma masyarakat di Malaysia mengikut perspektif agama, budaya dan etika rakyat Malaysia,” katanya.

KUALA LUMPUR — Seorang pengamal undang-undang menegaskan bahawa doktor tidak wajar menyembunyikan perbuatan jenayah dilakukan pesakit, termasuk tindakan menggugurkan kandungan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

Siti Nur Zulaikha Abd Kadir berkata ini kerana perbuatan menamatkan kehamilan tanpa sebab atau alasan yang munasabah bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah ditegah oleh agama Islam.

Menurutnya, walaupun seorang doktor mempunyai tanggungjawab untuk melindungi orang yang mendapatkan rawatan namun pada masa sama, adalah tidak wajar bagi dia menyembunyikan sebarang perbuatan jenayah pesakit. 

“Sekiranya isu kesihatan dibimbangkan, seorang wanita yang sudah mencapai usia akil baligh sewajarnya mengetahui kesan oleh setiap tindakan dilakukannya dan menjauhi daripada perbuatan sehingga akan menyebabkan kehamilan tidak diingini.

“Dalam keprihatinan terhadap isu hak asasi manusia, perlu diingatkan bahawa terdapat batas serta limitasi terhadap sesuatu hak asasi manusia tersebut yang mana undang-undang yang digubal serta dilaksanakan telah disesuaikan dengan norma masyarakat di Malaysia mengikut perspektif agama, budaya dan etika rakyat Malaysia,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Persatuan Hak Kesihatan Wanita Malaysia (RRAAM) yang disiar di platform X baru-baru ini bertajuk, “Doktor mempunyai tanggungjawab melindungi – akses pengguguran selamat adalah isu kesihatan dan hak asasi manusia”.

RRAAM dalam kenyataan itu berkata pihaknya berdiri teguh bersama seorang wanita di Melaka yang dipenjara kerana menggunakan pil pengguguran pada Mei lalu.

Menurut persatuan itu, seorang individu yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan telah dilaporkan kepada pihak berkuasa oleh doktor dipercayainya di mana tindakan tersebut disifatkan sebagai satu pengkhianatan yang memusnahkan kepercayaan terhadap sistem kesihatan, menghalang individu mendapatkan rawatan, dan membahayakan nyawa serta kesihatan mereka.

Foto: Tangkap layar ciapan/kenyataan RRAAM di platform X.

Mengulas lanjut, Nur Zulaikha yang juga Ketua Biro Undang-Undang, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) berkata, di negara ini pengguguran adalah tidak dibolehkan di bawah Seksyen 312, Kanun Keseksaan (Pindaan) 1989) [Akta 574] kecuali dalam beberapa keadaan tertentu.

“Ia membolehkan pengamal perubatan berdaftar “menamatkan kehamilan seorang perempuan jika pengamal perubatan tersebut berpendapat, dengan suci hati, bahawa penerusan kehamilan itu akan melibatkan risiko kepada nyawa perempuan yang hamil itu, atau kecederaan kepada kesihatan fizikal atau mental perempuan yang hamil itu, yang lebih daripada jika kehamilan itu ditamatkan”.

“Setiap sesuatu perkara itu perlu ada undang-undang yang menjaga serta menjadi panduan, sekiranya kita tidak ingin berasa dikongkong, maka adakah kita bersetuju untuk wanita-wanita di luar sana membunuh anak-anak mereka yang ada sudah pun cukup sifatnya sebagai seorang bayi?

“Bukankah itu juga menafikan hak bayi tersebut untuk hidup? Dan persoalan paling penting, adakah kebebasan seperti ini yang kita inginkan?

“Seorang wanita dan lelaki yang sudah matang sewajarnya sedia cakna akan batasan dalam pergaulan dan bukannya sudah terlanjur bertindak menamatkan pula riwayat bayi yang tidak bersalah,” katanya yang turut menambah bahawa undang-undang sedia ada berkenaan ini sudah mencukupi, dan apa yang lebih penting adalah kepatuhan serta pemerkasaan kepada undang-undang tersebut. — The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author