Connect with us

Antarabangsa

Kes HIV di Filipina meningkat 500 peratus, Pihak berkuasa dijangka umum darurat kesihatan awam

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Filipina, purata 57 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tiga bulan pertama tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 500 peratus berbanding tahun lalu.
  • Hubungan seksual masih menjadi cara utama penularan virus, dengan majoriti kes sejak tahun 2007 dikaitkan dengan hubungan sejenis antara lelaki.
  • “Apa yang menakutkan, majoriti kes baharu melibatkan golongan belia. Demi kepentingan negara untuk mengisytiharkan darurat kesihatan awam, atau darurat kebangsaan berkaitan HIV, supaya seluruh masyarakat dan agensi kerajaan dapat digerakkan bagi membantu usaha mengurangkan jumlah kes baharu.” – Setiausaha Kesihatan, Ted Herbosa

 

MANILA – Pihak berkuasa perubatan Filipina pada Selasa memberi amaran berhubung kemungkinan berlaku darurat kesihatan awam apabila kes jangkitan HIV melonjak secara mendadak pada tahun ini, dengan golongan lelaki muda paling terkesan.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Filipina, purata 57 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tiga bulan pertama tahun 2025 di negara yang mempunyai 117 juta penduduk iaitu peningkatan sebanyak 500 peratus berbanding tahun lalu.

“Kita kini mencatat jumlah kes baharu paling tinggi di rantau Pasifik Barat,” kata Setiausaha Kesihatan, Ted Herbosa dalam satu mesej video yang dikeluarkan pada Selasa.

“Apa yang menakutkan, majoriti kes baharu melibatkan golongan belia,” tambahnya.

“Adalah demi kepentingan negara untuk mengisytiharkan darurat kesihatan awam, atau darurat kebangsaan berkaitan HIV, supaya seluruh masyarakat dan agensi kerajaan dapat digerakkan bagi membantu usaha mengurangkan jumlah kes baharu,” tegas Herbosa.

Jabatan Kesihatan turut memaklumkan bahawa 95 peratus kes baharu melibatkan lelaki, dengan 33 peratus berumur antara 15 hingga 24 tahun, dan 47 peratus dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun.

Kerajaan tidak menyatakan punca utama peningkatan mendadak itu, namun mengakui ia telah menjejaskan usaha negara untuk mencapai sasaran global yang ditetapkan oleh kempen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan wabak AIDS menjelang tahun 2030.

Mengikut undang-undang Filipina, Presiden boleh mengisytiharkan darurat kesihatan sekiranya sesuatu wabak mengancam keselamatan negara.

Kali terakhir langkah ini diambil Filipina ialah semasa permulaan pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Jabatan Kesihatan juga mendedahkan bahawa hanya 55 peratus individu yang hidup dengan HIV di Filipina telah didiagnosis, dan daripada jumlah itu, hanya 66 peratus menerima rawatan antiretroviral yang menyelamatkan nyawa.

Hubungan seksual masih menjadi cara utama penularan virus, dengan majoriti kes sejak tahun 2007 dikaitkan dengan hubungan sejenis antara lelaki.

Kes HIV di Filipina mula meningkat sejak tahun 2021, dan dianggarkan seramai 252,800 orang akan hidup dengan HIV di negara itu menjelang akhir tahun ini.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author