Connect with us

Terkini

Pihak pendakwaan gagal buktikan Zaim, Ismanira abai Zayn Rayyan – Peguam

Published

on

Foto: Zaim Ikhwan Zahari (kanan) & Ismanira Abdul Manaf (kiri).
  • Peguam, Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata demikian berdasarkan hujahan bertulis difailkan Tetuan Haresh Mahadevan & Co pada 23 Mei lalu.
  • Pendakwaan tidak berjaya buktikan ‘mens rea’ iaitu niat untuk melakukan kesalahan yang tidak dinyatakan dalam pertuduhan, yang dihadapi pasangan itu.
  • Pembelaan menghujahkan tiada elemen niat bersama dalam pengabaian yang dilakukan ibu bapa Zayn Rayyan seperti mana dalam pertuduhan tersebut.
  • “Tiada saksi yang melihat Ismanira mahupun suaminya mengabaikan anak mereka melainkan tanggapan itu dibuat berdasarkan tafsiran pegawai penyiasat.
  • “Sedangkan, keterangan berbentuk pendapat itu tidak boleh diterima oleh mahkamah kerana tiada bukti langsung yang menyokong pertuduhan terhadap mereka,” katanya.

KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen Petaling Jaya diberitahu bahawa pihak pendakwaan gagal menunjukkan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin mempunyai niat untuk melakukan kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak autistik itu.

Peguam, Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata demikian berdasarkan hujahan bertulis difailkan Tetuan Haresh Mahadevan & Co pada 23 Mei lalu.

Haresh berkata pendakwaan tidak berjaya membuktikan ‘mens rea’ iaitu niat untuk melakukan kesalahan yang tidak dinyatakan dalam pertuduhan, yang dihadapi pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu.

Kegagalan itu menurut beliau, disokong dengan kandungan laporan polis oleh ibu kanak-kanak itu selepas usaha mencari Zayn Rayyan tidak berhasil.

Katanya, Ismanira juga memberitahu saksi pendakwaan keempat (SP4), bekas pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, bahawa dia mencari anak sulung itu di sekitar Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai selepas menyedari kehilangan Zayn Rayyan.

“Dia turut mencari Zayn Rayyan di taman permainan dan belakang rumah kedua-dua pasangan itu.

“Ismanira juga memberitahu suaminya. Kemudian, pada jam 12.30 tengah hari, Zaim Ikhwan terus pulang ke rumah dan mencari arwah anak mereka namun tetap gagal ditemui,” katanya dilapor Sinar Harian pada Selasa.

Haresh berkata ia dikuatkan dengan keterangan SP16, jiran Zayn Rayyan, suri rumah, Rashidah Rajali, 37, yang mengesahkan Ismanira berada dalam keadaan berpeluh seolah-olah mencari sesuatu pada hari kejadian.

Selain itu, pembelaan menghujahkan tiada elemen niat bersama dalam pengabaian yang dilakukan ibu bapa Zayn Rayyan seperti mana dalam pertuduhan tersebut.

Ia ditambah dengan keterangan Inspektor, Nina Syamimi yang mengesahkan Ismanira menangis ketika mayat anaknya ditemukan di aliran anak sungai dekat pangsapuri berkenaan pada 6 Disember 2023 di mana reaksi itu konsisten dengan kelakuan seseorang yang tidak bersalah.

“Tiada saksi yang melihat Ismanira mahupun suaminya mengabaikan anak mereka melainkan tanggapan itu dibuat berdasarkan tafsiran pegawai penyiasat.

“Sedangkan, keterangan berbentuk pendapat itu tidak boleh diterima oleh mahkamah kerana tiada bukti langsung yang menyokong pertuduhan terhadap mereka,” katanya.

Menurut laporan BH, pembelaan turut menyatakan, tindakan Ismanira meninggalkan Zayn Rayyan berjalan di belakang ketika pulang dari sekolah pada tengah hari mangsa dilaporkan hilang, juga bukan suatu pengabaian.

Hujah pembelaan itu disokong oleh keterangan SP10, Nasimah Abu Bakar yang menjelaskan Zayn seorang kanak-kanak autistik yang pasif dan berkelakuan baik serta boleh bergantung kepada petunjuk harian.

Dalam penghujahan itu, pihak pembelaan turut membangkitkan isu bahawa polis cuba mempengaruhi saksi-saksi secara tidak wajar untuk mengenakan tertuduh.

Keterangan itu diperoleh menerusi Nasimah yang mengaku beberapa saksi dipanggil berkali-kali untuk mengubah pernyataan kepada polis.

Nasib sama ada Zaim Ikhwan dan Ismanira dibebaskan atau diperintah membela diri atas kes pengabaian kanak-kanak autisme itu dilapor akan diketahui pada 21 Julai depan.

Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.— The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author