Connect with us

Antarabangsa

‘Mereka suruh kami ambil makanan, kemudian mereka tembak’- 31 maut ditembak tentera Israel, MSF salahkan NGO AS

Published

on

Foto: Keadaan di sebuah hospital di Rafah, tempat mangsa yang cedera dibawa selepas tentera Israel melepaskan tembakan ketika rakyat Palestin berusaha mendapatkan bantuan di pusat pengagihan di Gaza.
  • Penyelaras kecemasan MSF, Claire Manera menyifatkan sistem agihan bantuan NGO AS, Gaza Humanitarian Foundation sebagai tidak berperikemanusiaan, berbahaya dan sangat tidak berkesan.
  • “Ia telah menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap orang awam yang sepatutnya boleh dielakkan. Bantuan kemanusiaan hanya wajar disampaikan oleh organisasi kemanusiaan yang benar-benar berkeupayaan dan bertekad untuk melakukannya dengan selamat dan berkesan,” tegasnya.
  • “Mereka suruh kami ambil makanan kemudian mereka tembak dari setiap arah. Ini bukan bantuan. Ini satu penipuan.” – Mangsa

RAFAH — Badan perubatan kebajikan Doctors Without Borders (MSF) melaporkan mangsa-mangsa yang mereka rawat di lokasi agihan bantuan di Gaza, yang dikendalikan oleh satu organisasi baharu yang disokong Amerika Syarikat, mendakwa telah ditembak dari semua arah oleh tentera Israel.

NGO berkenaan yang dikenali dengan nama Perancisnya MSF (Médecins Sans Frontières), menyalahkan sistem pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) atas kekecohan yang berlaku di lokasi tersebut di bandar Rafah, Selatan Gaza.

Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan bahawa tembakan dari pihak Israel telah mengorbankan 31 rakyat Palestin di lokasi tersebut.

Saksi memberitahu AFP bahawa tentera Israel telah melepaskan tembakan.

Pihak GHF dan pihak berkuasa Israel menafikan kejadian tersebut, namun MSF dan pasukan perubatan lain melaporkan bahawa mereka telah merawat orang awam yang cedera akibat tembakan di Hospital Nasser di bandar Khan Younis yang berhampiran.

“Pesakit memberitahu MSF bahawa mereka ditembak dari semua arah  oleh dron, helikopter, bot, kereta kebal dan askar Israel di darat,” menurut kenyataan MSF.

Penyelaras kecemasan MSF, Claire Manera, dalam kenyataan itu menyifatkan sistem agihan bantuan GHF sebagai tidak berperikemanusiaan, berbahaya dan sangat tidak berkesan.

“Ia telah menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap orang awam yang sepatutnya boleh dielakkan. Bantuan kemanusiaan hanya wajar disampaikan oleh organisasi kemanusiaan yang benar-benar berkeupayaan dan bertekad untuk melakukannya dengan selamat dan berkesan,” tegasnya.

Pegawai Komunikasi MSF, Nour Alsaqa, turut melaporkan bahawa koridor hospital dipenuhi dengan pesakit, kebanyakannya lelaki, dengan kecederaan tembakan yang jelas pada anggota badan mereka.

MSF turut memetik kenyataan seorang lelaki yang cedera, Mansour Sami Abdi, yang menggambarkan keadaan huru-hara ketika orang ramai berebut lima palet bantuan sahaja.

“Mereka suruh kami ambil makanan  kemudian mereka tembak dari setiap arah.

“Ini bukan bantuan. Ini satu penipuan,” katanya.

Tentera Israel dalam kenyataan berasingan berkata siasatan awal mendapati pasukan mereka tidak melepaskan tembakan ke arah orang awam ketika mereka berada berhampiran atau di dalam kawasan agihan bantuan kemanusiaan.

Jurucakap GHF pula menyatakan laporan palsu ini telah disebarkan secara aktif oleh Hamas. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author