Antarabangsa
Kumpulan Rohingya kecam ‘pengabaian global’ selepas 427 pelarian dikhuatiri lemas di laut
- Kumpulan Hak Asasi Rohingya mengutuk kegagalan tindakan serantau dan pengabaian global terhadap nasib etnik minoriti Islam dari Myanmar selepas lebih 400 pelarian dikhuatiri mati lemas apabila dua bot karam bulan ini selepas berlepas dari Bangladesh.
- UNHCR minggu lalu menerima laporan dari ahli keluarga dan pihak lain berhubung dua tragedi bot yang berlaku pada 9 dan 10 Mei, dengan anggaran 427 orang mungkin telah terkorban.
- Kira-kira 750,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 2017 berikutan kempen kekerasan tentera Myanmar.
COX’S BAZAR – Kumpulan Hak Asasi Rohingya pada Khamis mengutuk kegagalan tindakan serantau dan pengabaian global terhadap nasib etnik minoriti Islam dari Myanmar selepas lebih 400 pelarian dikhuatiri mati lemas apabila dua bot karam bulan ini selepas berlepas dari Bangladesh.
Menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) minggu lalu, mereka menerima laporan dari ahli keluarga dan pihak lain berhubung dua tragedi bot yang berlaku pada 9 dan 10 Mei, dengan anggaran 427 orang mungkin telah terkorban.
Kedua-dua bot tersebut dilaporkan berlepas dari Cox’s Bazar, di mana kira-kira sejuta pelarian Rohingya menetap di kem.
Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, 26 kumpulan diaspora Rohingya termasuk Pertubuhan Rohingya Burma berpangkalan di UK memaklumkan hanya 87 orang terselamat dalam dua kejadian itu.
Pihak berkuasa jiuga dilapor telah menahan satu lagi bot yang membawa 188 orang ketika cuba meninggalkan Myanmar pada 18 Mei.
“Kejadian bencana berturut-turut ini merupakan kehilangan nyawa Rohingya terburuk di laut tahun ini akibat kegagalan tindakan serantau serta pengabaian global,” menurut kenyataan tersebut.
Kebanyakan mangsa adalah mereka yang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik di Negeri Rakhine, Myanmar.
Kenyataan itu juga menyatakan bahawa mereka melarikan diri daripada kempen keganasan yang semakin meluas oleh Tentera Arakan, kumpulan pemberontak yang kini menguasai sebahagian besar Rakhine selepas mengusir tentera Myanmar dari kawasan tersebut.
“Penduduk yang terperangkap di kem pelarian dalam zon kawalan tentera Burma kini menghadapi kebuluran. Kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, dan ramai keluarga langsung tidak mempunyai bekalan makanan,” kata kenyataan itu lagi.
Kebanyakan Rohingya berasal dari Negeri Rakhine dan tidak memiliki kewarganegaraan. Mereka dianggap sebagai pendatang dari Asia Selatan dan tidak diiktiraf sebagai kumpulan etnik pribumi dalam perlembagaan Myanmar yang majoritinya beragama Buddha.
Kira-kira 750,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 2017 berikutan kempen kekerasan tentera Myanmar.
Kerajaan Amerika Syarikat telah mengklasifikasikan pembunuhan dan rogol yang dilakukan sebagai tindakan genosid. -The Merdeka Times