Antarabangsa
Wanita Rohingya dakwa dipaksa guna perancang kehamilan di Kem Pelarian Bangladesh
- Lima wanita Rohingya memberitahu bahawa antara Mac hingga Mei tahun ini, mereka dipaksa oleh doktor, jururawat atau pihak berkuasa kem untuk dipasang IUD.
- Mereka turut mendakwa anak yang dilahirkan tidak akan didaftarkan tanpa bukti penggunaan IUD selain pendaftaran diperlukan untuk mendapatkan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan.
- Kerajaan Bangladesh menafikan mengeluarkan arahan rasmi mengenai perkara itu.
- Jumlah pelarian Rohingya meningkat kepada hampir 1.2 juta pada tahun 2025, berbanding 850,000 pada 2018.
COX’S BAZAR – Pihak berkuasa Bangladesh dan petugas kesihatan dilapor memaksa wanita Rohingya di kem pelarian di Cox’s Bazar menggunakan kaedah perancang kehamilan jangka panjang seperti alat dalam rahim (IUD).
Perkara itu dimaklumkan beberapa wanita pelarian dan pekerja bantuan. Lima wanita Rohingya memberitahu bahawa antara Mac hingga Mei tahun ini, mereka dipaksa oleh doktor, jururawat atau pihak berkuasa kem untuk dipasang IUD.
Empat daripada mereka berkata mereka diberitahu bahawa anak yang dilahirkan tidak akan didaftarkan tanpa bukti penggunaan IUD.
Pendaftaran diperlukan untuk mendapatkan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan.
Kerajaan Bangladesh menafikan mengeluarkan arahan rasmi mengenai perkara itu, namun mengakui mungkin wujud salah faham atau penyampaian yang tidak tepat.
Pada masa sama, jumlah pelarian Rohingya meningkat kepada hampir 1.2 juta pada tahun 2025, berbanding 850,000 pada 2018.
Wanita Rohingya sering dicemuh oleh pihak berkuasa dan media tempatan kerana mempunyai ramai anak. Walaupun ramai dalam kalangan mereka bersedia menerima perancangan keluarga, pendekatan secara paksaan dan layanan berunsur perkauman oleh sistem kesihatan yang dibiayai penderma dilapor merosakkan kepercayaan mereka.
Amalan ini bercanggah dengan dasar rasmi perancangan keluarga Bangladesh bagi komuniti pelarian dan boleh merosakkan lagi hubungan antara pelarian dan sektor kesihatan.
Ini amat membimbangkan memandangkan wanita Rohingya telah lama menjadi mangsa penindasan genosid, termasuk usaha menghalang kelahiran di Myanmar.
Jurucakap PBB berkata mereka mula menyedari aduan tentang kaedah kontraseptif secara paksa pada Oktober 2024 dan telah menghubungi pihak berkuasa Bangladesh. Namun, menurut seorang pekerja bantuan di Cox’s Bazar, beberapa kakitangan PBB sudah mengetahui isu ini sejak Januari 2024 tetapi sukar meyakinkan pihak atasan untuk bertindak.
Surat daripada ketua Suruhanjaya Bantuan dan Pemulangan Pelarian Rohingya (RRRC), Mohammed Mizanur Rahman, kepada PBB pada Mei menyatakan tiada arahan dikeluarkan untuk mewajibkan kaedah perancangan keluarga sebagai syarat pendaftaran bayi.
Namun, surat itu tidak mengesahkan atau menafikan sama ada insiden paksaan pernah berlaku. -The Merdeka Times