Antarabangsa
Gencatan senjata kekal di Gaza: Hamas umum capai persetujuan dengan utusan AS
- “Kami telah mencapai persetujuan mengenai kerangka umum dengan Witkoff yang menjamin gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera penjajah Israel dari Gaza, dan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan.” – Hamas
- Persetujuan itu juga merangkumi penubuhan jawatankuasa profesional untuk menguruskan hal ehwal Gaza sebaik sahaja gencatan senjata diisytiharkan.
- Hamas berkata mereka akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup dan menyerahkan mayat beberapa lagi sebagai pertukaran untuk bilangan tahanan Palestin yang dipersetujui bersama, dengan jaminan daripada pihak pengantara.
GAZA – Kumpulan Palestin, Hamas, mengumumkan pada hari Rabu bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan utusan Timur Tengah Amerika Syarikat, Steve Witkoff, mengenai kerangka umum untuk gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza.
“Kami telah mencapai persetujuan mengenai kerangka umum dengan Witkoff yang menjamin gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera penjajah Israel dari Gaza, dan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan,” menurut kenyataan Hamas yang dipetik Anadolu Anjansi.
Persetujuan itu juga merangkumi penubuhan jawatankuasa profesional untuk menguruskan hal ehwal Gaza sebaik sahaja gencatan senjata diisytiharkan.
Hamas berkata mereka akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup dan menyerahkan mayat beberapa lagi sebagai pertukaran untuk bilangan tahanan Palestin yang dipersetujui bersama, dengan jaminan daripada pihak pengantara.
“Kami kini berada di ambang menghantar draf terma baharu yang diharapkan akan dihantar lewat hari ini,” kata Witkoff kepada pemberita di Rumah Putih.
“Saya sangat yakin bahawa kita boleh mencapai penyelesaian jangka panjang — gencatan senjata sementara dan penyelesaian damai jangka panjang untuk konflik tersebut,” tambahnya lagi.
Witkoff berkata Presiden AS, Donald Trump, akan meneliti cadangan tersebut selepas ia dihantar.
Mesir atau Qatar selaku pengantara belum membuat sebarang komen mengenai kenyataan Hamas itu.
Bagaimanapun, seorang pegawai Israel menolak pengumuman tersebut dan menggambarkan cadangan itu sebagai “tidak boleh diterima” oleh Israel dan AS, menurut laporan media Israel.
Akhbar Yedioth Ahronoth memetik sumber Israel yang tidak dinamakan sebagai menafikan kewujudan persetujuan dengan Hamas dan menyifatkannya sebagai “propaganda dan perang psikologi.”
Sumber itu mendakwa bahawa Israel hanya bersetuju dengan satu inisiatif yang tidak dinyatakan oleh Witkoff, tetapi Hamas kononnya telah menolak cadangan tersebut.
Hamas sebelum ini telah berulang kali menawarkan untuk membebaskan semua tebusan Israel sekali gus sebagai pertukaran untuk menamatkan perang, pengunduran tentera Israel, dan pembebasan tahanan Palestin.
Namun, Netanyahu menolak syarat-syarat tersebut, sebaliknya menuntut perlucutan senjata oleh pejuang Palestin dan memberi isyarat rancangan untuk menduduki semula Gaza. – The Merdeka Times