Terkini
Cadang pisahkan agama daripada negara, PEMBELA seru kerajaan tolak dokumen dikemukakan CSO ASEAN
- PEMBELA bantah tegas dokumen “Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 – Malaysia” dikemukakan gabungan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) ASEAN.
- Timbalan Pengerusi PEMBELA, Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata ini kerana dokumen itu mengandungi cadangan-cadangan bertentangan Perlembagaan Persekutuan, nilai Islam dan kedudukan istimewa Melayu serta Bumiputera yang dijamin undang-undang.
- Antara kandungan sangat membimbangkan dalam dokumen tersebut, adalah cadangan memisahkan agama daripada negara, pelaksanaan undang-undang anti-diskriminasi LGBTQIA+, ratifikasi semula ICERD serta pelonggaran dasar kewarganegaraan secara automatik tanpa tapisan.
KUALA LUMPUR — Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membantah tegas dokumen “Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 – Malaysia” dikemukakan gabungan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) ASEAN yang antaranya didakwa mencadangkan pemisahan agama daripada negara.
Ia turut menyeru kerajaan, khususnya Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menolak sekeras-kerasnya sebarang cadangan yang bercanggah Islam dan Perlembagaan Persekutuan serta menuntut seluruh umat Islam, termasuk NGO Islam, tokoh masyarakat dan ahli akademik bersatu menyuarakan penolakan terhadap dokumen tersebut.
Timbalan Pengerusi PEMBELA, Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata ini kerana dokumen itu mengandungi cadangan-cadangan bertentangan Perlembagaan Persekutuan, nilai Islam dan kedudukan istimewa Melayu serta Bumiputera yang dijamin undang-undang.
Antara kandungan sangat membimbangkan dalam dokumen tersebut, menurut beliau adalah cadangan memisahkan agama daripada negara, pelaksanaan undang-undang anti-diskriminasi LGBTQIA+, ratifikasi semula Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) serta pelonggaran dasar kewarganegaraan secara automatik tanpa tapisan.
“Kesemua ini merupakan bentuk ancaman terhadap asas kenegaraan dan peruntukan-peruntukan utama dalam Perlembagaan.
“Dalam Seksyen 3.2 dokumen tersebut, CSO ASEAN mencadangkan: “Ensure separation of religion and state…” Ini merupakan satu cadangan yang jelas bertentangan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
“Ini adalah usaha terselindung dan terancang yang mahu menukar identiti negara ke arah menjadi sebuah negara sekular yang menafikan peranan Islam dalam pentadbiran kerajaan dan urusan kenegaraan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Foto: Antara tangkap layar kenyataan media PEMBELA.
Shuhaib berkata dalam Seksyen 3.13 dokumen tersebut juga menyarankan pelaksanaan undang-undang anti-diskriminasi untuk LGBTQIA+, sedangkan ia jelas bertentangan hukum dan undang-undang Islam serta norma masyarakat Malaysia.

Foto: Antara tangkap layar petikan dokumen, “Advisory Paper to the Chairperson of ASEAN and our Prime Minister of Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim”.
Selain itu, katanya terdapat cadangan untuk meratifikasikan semula ICERD yang ditolak secara besar-besaran oleh rakyat Malaysia pada tahun 2018 yang dinyatakan dalam Seksyen 3.5 dalam dokumen tersebut.
“Usaha seperti ini adalah satu bentuk pencabulan terhadap Perkara 153 Perlembagaan yang melindungi hak istimewa Melayu dan Bumiputera, ia merupakan serangan langsung ke atas kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia.
“Seksyen 3.7 pula mengandungi cadangan agar setiap anak yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu bapa warganegara Malaysia diberikan kewarganegaraan secara automatik, tanpa mengira status perkahwinan atau tempat lahir — Ini akan membuka pintu kepada kebanjiran kewarganegaraan tanpa tapisan dan seterusnya melemahkan kedaulatan undang-undang negara,” kata Shuhaib.
Beliau menegaskan bahawa PEMBELA menolak sebarang cubaan membawa masuk prinsip hak asasi manusia berasaskan acuan Barat dan tidak berpaksikan Islam, budaya Melayu dan norma masyarakat Malaysia susulan negara ini mempunyai kerangka hak asasi tersendiri yang dibina atas asas undang-undang Islam dan maqasid syariah.
“Dokumen ini jelas tidak mewakili suara majoriti rakyat Malaysia. Ia adalah suara sekelompok pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memaksakan fahaman liberal mereka ke atas negara ini tanpa menghormati sejarah dan sensitiviti agama dan kaum yang ada,” kata Shuhaib.

Foto: Antara tangkap layar petikan dokumen, “Advisory Paper to the Chairperson of ASEAN and our Prime Minister of Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim”.
Pada Februari lalu, laman web Pusat KOMAS telah memuat naik kenyataan media berbahasa Inggeris bertajuk, ‘Handover of the “Advisory Paper to the Chairperson of ASEAN and our Prime Minister of Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim” by the Committee of ASEAN Peoples’ @ASEAN 2025’.
Kenyataan itu menyatakan pada 3 Februari lalu, satu delegasi terdiri daripada 15 pemimpin CSO diketuai Pengerusi Penganjur, Jerald Joseph dari ASEAN Peoples @Asean2025 (ASEAN Peoples) telah bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Sri Amran Mohamed Zin dan menyerahkan Kertas Nasihat tersebut.
Ia turut melampirkan salinan Kertas Nasihat tersebut yang antara lain mencadangkan agar Negara-Negara Anggota ASEAN memisahkan agama daripada negara bagi memupuk sikap toleransi dan pendekatan inklusif serta mencegah ekstremisme agama. — The Merdeka Times