Antarabangsa
“Ya, Israel sedang lakukan jenayah perang!” – bekas PM Israel
- Geng penjenayah yang diketuai oleh Benjamin Netanyahu telah mencatatkan satu tindakan yang tiada tandingannya, temasuk dalam sejarah Israel.” – Ehud Olmert, bekas Perdana Menteri Israel
- “Apa yang sedang kita lakukan di Gaza sekarang ialah perang pemusnahan: pembunuhan orang awam secara melulu, tanpa batas, kejam dan jenayah. Ia adalah hasil dasar kerajaan – dengan sedar, jahat, kejam, dan tidak bertanggungjawab.”
BAITULMAQDIS — “Ya, Israel sedang lakukan jenayah perang! Geng penjenayah yang diketuai oleh Benjamin Netanyahu telah mencatatkan satu tindakan yang tiada tandingannya, temasuk dalam sejarah Israel.”
Itu kenyataan bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mengenai tindakan kejam Netanyahu di Gaza yang menyifatkan “kerajaan Israel sedang melancarkan perang tanpa tujuan, tanpa matlamat atau perancangan yang jelas dan tanpa sebarang peluang untuk berjaya.”
Olmert, yang merupakan Perdana Menteri Israel ke-12 dari tahun 2006 hingga 2009, menulis dalam sebuah rencana pendapat di akhbar dan laman web Israel, Haaretz yang dipetik The Guardian.
“Tidak pernah sejak penubuhannya, negara Israel melancarkan perang seperti ini,” katanya.
Bekas Perdana Menteri Israel itu, yang juga merupakan bekas ahli parti Likud – parti yang sama dengan Netanyahu – menulis bahawa “korban sia-sia dalam kalangan penduduk Palestin” telah mencapai “tahap yang mengerikan” dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Operasi-operasi terkini di Gaza tiada kaitan dengan matlamat peperangan yang sah,” tulisnya.
“Ini kini adalah perang politik peribadi. Kesan serta-merta adalah perubahan Gaza menjadi kawasan bencana kemanusiaan,” jelasnya.
Olmert berkata sebelum ini beliau sering menegaskan bahawa Israel tidak melakukan jenayah perang di Gaza dan yakin bahawa tiada satu pun pegawai kerajaan pernah mengarahkan serangan ke atas orang awam Gaza secara melulu.
Namun, dalam beberapa minggu terakhir, katanya, “Saya tidak lagi mampu berbuat demikian.”
“Apa yang sedang kita lakukan di Gaza sekarang ialah perang pemusnahan: pembunuhan orang awam secara melulu, tanpa batas, kejam dan jenayah. Ia adalah hasil dasar kerajaan – dengan sedar, jahat, kejam, dan tidak bertanggungjawab.”
Dalam satu temu bual bersama BBC minggu lalu, Olmert menggambarkan konflik yang sedang berterusan itu sebagai “perang tanpa tujuan – perang tanpa sebarang peluang untuk mencapai apa-apa yang boleh menyelamatkan nyawa tebusan.”
Kenyataannya kepada penyiar British itu mencetuskan kemarahan di Israel. Parti-parti sayap kanan ekstrem mengecam kenyataannya. – The Merdeka Times