Connect with us

Antarabangsa

3 terbunuh, 46 cedera: Rakyat Palestin dihimpun, dikurung seakan kem tahanan

Published

on

Foto: Rakyat Palestin dipaksa berada dalam kurungan sementara menunggu pengagihan bantuan.
  • Stephane Dujarric – jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyatakan bahawa gambar dan video dari tapak bantuan yang ditubuhkan  GHF adalah “menyayat hati”.
  • “Pasukan penjajah telah melepaskan tembakan hidup ke atas orang awam yang kelaparan yang telah diperdayakan ke kawasan ini dengan janji palsu untuk menerima bantuan.” – Pejabat Media Kerajaan di Gaza.

RAFAH — Bukan sahaja rakyat Palestin yang dibiarkan kelaparan hampir 90 hari dihimpun dalam kurungan seperti di kem tahanan ketika mahu mendapatkan bantuan di selatan Rafah, tetapi mereka juga menjadi mangsa tembakan tentera Zionis.

Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh di Gaza selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang bergegas ke tapak pengagihan bantuan yang dikendalikan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.

Insiden berdarah yang berlaku di bandar selatan Rafah pada hari Selasa itu juga menyebabkan 46 orang cedera dan tujuh lagi dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa di Gaza.

Bagaimanapun GHF menafikan laporan tersebut, manakala tentera Israel pula menyatakan bahawa tenteranya hanya melepaskan tembakan amaran di kawasan luar tapak agihan, dan keadaan telah kembali terkawal.

Insiden itu mencetuskan kritikan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa pertubuhan bantuan, namun Israel dan Amerika Syarikat terus mempertahankan GHF.

Stephane Dujarric, jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyatakan bahawa gambar dan video dari tapak bantuan yang ditubuhkan  GHF adalah “menyayat hati.”

“Kami dan rakan kongsi kami mempunyai pelan operasi yang terperinci, berprinsip, dan kukuh yang disokong oleh negara anggota untuk menyalurkan bantuan kepada populasi yang amat memerlukan.

“Bantuan kemanusiaan perlu diagihkan secara selamat mengikut prinsip kebebasan dan berkecuali – seperti yang kami sentiasa lakukan.

“Kami melihat pelan yang dibentangkan GHF, dan ia tidak mematuhi parameter yang kami rasakan sepadan dengan prinsip-prinsip kami, yang kami laksanakan secara menyeluruh, dari Gaza ke Sudan ke Myanmar, dan di mana-mana sahaja,” katanya.

Pejabat Media Kerajaan di Gaza melalui satu kenyataan turut mengutuk tindakan tentera Israel di Rafah.

“Pasukan penjajah telah melepaskan tembakan hidup ke atas orang awam yang kelaparan yang telah diperdayakan ke kawasan ini dengan janji palsu untuk menerima bantuan.

“Apa yang berlaku hari ini di Rafah adalah pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan dan jenayah perang yang lengkap, dilakukan dengan kejam terhadap orang awam yang telah dilemahkan oleh lebih 90 hari kelaparan akibat kepungan.

“Insiden ini membuktikan dengan jelas kegagalan sepenuhnya penjajahan Israel dalam menguruskan bencana kemanusiaan yang sengaja diciptanya, ” kata kenyataan itu. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author