Connect with us

Terkini

EXCO bukan Muslim hadir taklimat hal ehwal Islam atas titah Tuanku Muhriz

Published

on

Foto: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
  • Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan itu diadakan pada 20 Mei 2025.
  • Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata penglibatan EXCO bukan beragama Islam itu bertujuan mendedahkan dan membuka kefahaman mereka mengenai pentadbiran Islam di Negeri Sembilan.
  • MAINS difahamkan membuat kenyataan itu susulan terdapat beberapa pihak, termasuk netizen mempersoalkan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong ke majlis taklimat berkenan.

KUALA LUMPUR — Kehadiran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), termasuk yang bukan beragama Islam pada Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan pada 20 Mei lalu atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata penglibatan EXCO bukan beragama Islam itu bertujuan mendedahkan dan membuka kefahaman mereka mengenai pentadbiran Islam di Negeri Sembilan.

“Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan yang diadakan pada 20 Mei 2025 merupakan pendekatan tadbir urus yang inklusif dan bersepadu apabila kehadiran turut melibatkan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) termasuk yang bukan beragama Islam, Ahli MAINS, Ketua-ketua Agensi Agama dan Pegawai-pegawai Daerah.

“Taklimat ini turut membentangkan pencapaian institusi agama negeri termasuk pemerkasaan pendidikan Islam, usaha digitalisasi institusi agama Islam sera pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera iaitu sebuah inisiatif pendidikan awal kanak-kanak yang menerapkan nilai-nilai murni dan adat pepatih merentas kaum dan agama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

MAINS difahamkan membuat kenyataan itu susulan terdapat beberapa pihak, termasuk netizen mempersoalkan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong ke majlis taklimat berkenan yang diadakan di Lexis Hibiscus, Port Dickson.

Tinjauan The Merdeka Times mendapati pada 20 Mei lalu, MAINS menerusi Facebook ada menulis hantaran bertajuk, ‘Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan’ yang turut disertakan lebih 40 gambar ketika taklimat itu berlangsung, di mana ruangan komen hantaran tersebut dipenuhi gesaan netizen menuntut penjelasan kehadiran EXCO bukan beragama Islam dalam majlis berkenaan.

Antara persoalan dibangkitkan netizen adalah apakah bukan Islam boleh turut serta dalam majlis tersebut atau sememangnya EXCO kerajaan negeri diwajibkan hadir.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook MAINS.

 

Sementara itu, MAINS memaklumkan pihaknya juga telah mengadakan Taklimat Hal Ehwal Islam bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan pada 8 Oktober 2024 yang dihadiri semua ADUN merentasi parti kerajaan dan pembangkang, termasuk yang bukan Islam.

“Pendekatan ini membuktikan komitmen MAINS terhadap tadbir urus Islam yang progresif, inklusif dan selari aspirasi perpaduan serta kemajuan bersama seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author