Connect with us

Terkini

(VIDEO) Pemilik akaun TikTok Ariff Peter mohon maaf muat naik video wanita mualaf tanpa semak fakta

Published

on

Foto: Pemilik akaun TikTok Ariff Peter
  • Ariff Peter berkata dia mengakui kekhilafannya memuat naik video wanita terbabit tanpa memeriksa latar belakang atau cerita sebenar wanita mualaf itu terlebih dahulu.
  • “Saya akui sendiri kekhilafan saya sendiri sebagai seorang manusia di mana saya post video tersebut tanpa memeriksa latar belakang atau membuat sebarang fact check berkenaan dengan cerita wanita Mualaf tersebut,” katanya menerusi video TikTok berdurasi dua minit 55 saat yang dimuat naik di akaunnya.
  • Jelas Ariff, dia merupakan seorang konsultan berkaitan kewangan di sebuah agensi perunding di Kuala Lumpur dan setiap hari ramai individu datang untuk mendapatkan perkhidmatan konsultasi kewangan secara percuma, termasuk wanita mualaf terbabit.

KUALA LUMPUR — Susulan isu tular wanita mualaf nekad murtad selepas didakwa ditinggalkan suami selain masjid dan zakat yang tidak membantunya, pemilik akaun TikTok yang memuat naik video terbabit, Ariff Peter tampil membuat permohonan maaf.

Ariff Peter berkata dia mengakui kekhilafannya memuat naik video wanita terbabit tanpa memeriksa latar belakang atau cerita sebenar wanita mualaf itu terlebih dahulu.

Jelas Ariff, dia merupakan seorang konsultan berkaitan kewangan di sebuah agensi perunding di Kuala Lumpur dan setiap hari ramai individu datang untuk mendapatkan perkhidmatan konsultasi kewangan secara percuma, termasuk wanita mualaf terbabit.

“Tapi wanita mualaf tersebut tidak memenuhi kelayakan syarikat dan saya sendiri tak boleh nak bawa kepada proses seterusnya jadi kami tak boleh nak ambil butiran peribadi ataupun details kepada sesiapa yang tiada kelayakan. 

“Saya akui sendiri kekhilafan saya sendiri sebagai seorang manusia di mana saya post video tersebut tanpa memeriksa latar belakang atau membuat sebarang fact check berkenaan dengan cerita wanita Mualaf tersebut,” katanya menerusi video TikTok berdurasi dua minit 55 saat yang dimuat naik di akaunnya.

Sebelum ini, tular video dengan paparan tajuk, “Menyesal convert Islam!? – Isteri mualaf nekad murtad selepas kena tinggal suami” berdurasi satu minit sembilan saat di mana seorang wanita mualaf mendakwa gagal mendapatkan bantuan, termasuk daripada pihak masjid dan pusat zakat selepas ditinggalkan suaminya, sebaliknya dia dibantu pihak gereja.

Video dimuat naik akaun TikTok Ariff Peter itu mendapat perhatian Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang dilapor telah mengarahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), khususnya Unit Jejak Asnaf menjejaki wanita mualaf terbabit.

Mohd Na’im berkata ia bagi membolehkan bantuan disalur dengan segera dan pada masa sama terdapat keperluan untuk berjumpa wanita tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut kerana banyak perkara masih tidak jelas.

Dalam masa sama,  Ariff Peter dalam video permohonan maaf terbaru itu juga memaklumkan dia telah menerima teguran daripada Firdaus Wong Wai Hung yang juga seorang pendakwah dan pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) mengenai video dimuat naik olehnya, sebelum ini.

“Tuan Firdaus Wong sendiri pun telah menasihati dan memberi teguran kepada saya supaya di masa depan menjadi lebih bijak dan berhati-hati sebelum membuat apa-apa posting-an (kandungan video) sebab takut nanti jadi fitnah, lagi-lagi fitnah kepada agama.

“Saya sangat menyesali dengan tindakan saya dan berjanji dengan seluruh rakyat Malaysia untuk tidak akan mengulangi lagi kesilapan ini di masa depan.

“Jadi saya meminta maaf atas tindakan saya, perkataan yang mengguris hati mana-mana pihak dan saya berjanji akan lebih berhati-hati dalam posting-an saya selepas ini supaya posting-an tersebut tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, semakan The Merdeka Times juga mendapati video berkenaan wanita mualaf tersebut tidak lagi disiarkan di akaun TikTok Ariff Peter hari ini.— The Merdeka Times



 



Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author