Antarabangsa
Dituduh dibiayai Israel: Ketua organisasi bantuan ke Gaza letak jawatan mengejut
- Pengarah Eksekutif GHF, Jake Wood memberikan alasan beliau tidak percaya organisasi itu dapat beroperasi secara bebas atau mematuhi prinsip kemanusiaan yang ketat.
- Tindakan Wood ini berlaku ketika siasatan oleh Washington Post dan New York Times pada hujung minggu lalu membangkitkan lebih banyak persoalan tentang asal-usul GHF dan hubungannya dengan pegawai Israel.
- Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid, meneruskan tekanan pada Isnin, dengan mendedahkan dalam ucapannya di Knesset bahawa GHF telah dibiayai Israel melalui sebuah syarikat di Amerika Syarikat.
NEW YORK – Pengarah Eksekutif Gaza Humanitarian Foundation (GHF), Jake Wood membuat kejutan dengan meletak jawatannya, beberapa jam sebelum kumpulan itu memulakan penghantaran bantuan secara langsung ke wilayah Palestin tersebut.
Wood memberikan alasan beliau tidak percaya organisasi itu dapat beroperasi secara bebas atau mematuhi prinsip kemanusiaan yang ketat.
Tindakan Wood ini berlaku ketika siasatan oleh Washington Post dan New York Times pada hujung minggu lalu membangkitkan lebih banyak persoalan tentang asal-usul GHF dan hubungannya dengan pegawai Israel.
“Saya bangga dengan kerja yang saya ketuai, termasuk membangunkan pelan pragmatik yang boleh memberi makanan kepada mereka yang kelaparan, menangani kebimbangan keselamatan berkaitan penyimpangan bantuan, dan melengkapi usaha NGO lama yang beroperasi di Gaza.
“Namun, jelas bahawa adalah mustahil untuk melaksanakan pelan ini sambil terus mematuhi prinsip kemanusiaan sejagat iaitu kemanusiaan, berkecuali, tidak memihak dan kebebasan operasi — prinsip yang saya tidak akan tinggalkan,” kata Wood yang dilaporkan Middle East Eye.
Ketua pembangkang Israel, Yair Lapid, meneruskan tekanan pada Isnin, dengan mendedahkan dalam ucapannya di Knesset bahawa GHF telah dibiayai Israel melalui sebuah syarikat di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan pejabat Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich menafikan dakwaan tersebut.
GHF mula mendapat perhatian awam awal bulan ini apabila pegawai Israel mula memberi taklimat kepada PBB dan NGO antarabangsa tentang pelan baharu mereka yang terperinci untuk mengambil alih dan mengehadkan pengagihan bantuan di Gaza.
Menurut taklimat tersebut, bantuan akan diagihkan dari lima hab logistik yang diwujudkan di selatan Gaza, dikendalikan oleh kontraktor keselamatan swasta dan menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk menyaring penerima bantuan.
Tidak lama selepas itu, diketahui bahawa GHF sebuah organisasi yang sebelum ini tidak dikenali dan berdaftar di Switzerland awal tahun ini akan mentadbir pelan baharu ini, walaupun satu dokumen cadangan GHF yang bocor sekitar waktu itu menunjukkan rancangan yang sedikit berbeza daripada yang dibentangkan pihak Israel.
Cadangan itu juga mendedahkan bahawa GHF kelihatan dikendalikan oleh gabungan individu dari bidang bantuan bencana, keselamatan, dan kewangan dari Amerika Syarikat yang mempunyai sedikit atau tiada pengalaman langsung di Gaza. – The Merdeka Times