Connect with us

Terkini

Anjur ‘parti alkohol’, Melaka tarik sijil halal dua hotel lima bintang

Published

on

Foto: Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman
  • Sijil halal dua buah hotel terkemuka di Banda Hilir itu ditarik semula awal bulan ini susulan penganjuran ‘parti alkohol’ menggunakan peralatan sama dengan dapur yang mendapat pensijilan halal.
  • “Kesalahan itu juga telah diakui pihak hotel dan kita mengambil tindakan tegas menarik semula serta merta sijil halal yang telah dikeluarkan kira-kira lima tahun lalu,” – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
  • Kedua-dua hotel itu diberi tempoh tiga bulan buat permohonan semula sijil halal.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Negeri Melaka menarik semula sijil halal dua buah hotel terkemuka bertaraf lima bintang di Banda Hilir awal bulan ini susulan penganjuran ‘parti alkohol’ menggunakan peralatan sama dengan dapur yang mendapat pensijilan halal.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata kesalahan itu juga telah diakui pihak hotel.

“Semasa pemeriksaan dibuat hasil aduan awam, kita (Jabatan Agama Islam Melaka) mendapati memang ada parti sedang berlangsung dan bekas arak ini dicampur penggunaannya dengan peralatan dapur yang telah dipersijilkan halal.

“Kesalahan itu juga telah diakui pihak hotel dan kita mengambil tindakan tegas menarik semula serta merta sijil halal yang telah dikeluarkan kira-kira lima tahun lalu,” katanya dipetik MalaysiaGazette hari ini.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, kedua-dua hotel terkemuka itu diberi tempoh tiga bulan untuk membuat permohonan semula sijil halal.

Beliau berkata jika pihaknya berpuas hati sijil halal akan dikembalikan semula dengan syarat mereka menepati semua kondisi ditetapkan dan tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

“Bagaimanapun setakat hari ini, mereka belum membuat permohonan semula dan JAIM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kesalahan serupa dilakukan 30 lagi hotel lain yang mempunyai sijil halal,” tegasnya.

Tambahnya lagi, ketegasan kerajaan negeri itu diharap dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berkunjung ke premis di Melaka yang mendapat persijilan halal.

“Sebab itulah di peringkat kerajaan negeri, kita tidak akan menganjurkan apa-apa program di hotel yang tiada persijilan halal sehinggalah mereka perolehi semula sijil itu,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author